05 Oktober 2011


KOTA BAHARU, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Pas Kelantan menuntut pampasan RM2.4 bilion daripada kerajaan persekutuan bagi penggunaan 1,043 km persegi wilayah negeri itu yang dijadikan sebahagian Taman Negara.



Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata surat tuntutan itu dihantar 12 Sept lepas kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco di di sini Rabu, beliau berkata tuntutan itu termasuk kehilangan nilai sewa ekonomi sebanyak RM27,682 sehektar yang terlepas iaitu bila mana penuaian hutan untuk balak daripada pengurusan hutan secara berkekalan tidak dibenarkan.

"Untuk keseluruhan hutan, nilai bersih kini yang terlepas ialah RM1.2 bilion bagi pusingan atau tempoh 30 tahun," katanya.

Husam berkata tuntutan seterusnya ialah pulangan terlepas iaitu bila mana peluang terhenti untuk hutan diteroka bagi perladangan komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit.

Ditanya kenapa baru sekarang tuntutan itu dikemukakan, beliau berkata ia perlu bagi menampung sumber kewangan negeri.

Selain Kelantan, Taman Negara turut meliputi kawasan di Pahang (2,477km persegi) dan Terengganu (853km persegi).

0 Comments:

Post a Comment