23 Oktober 2011

KUALA LUMPUR, 23 Okt [TMI]— Setiausaha Agung Umno berkata calon-calon yang akan diturunkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 “memang boleh menang dan memberi impak” dengan menekankan bahawa ketuanya Datuk Seri Najib Razak mahukan calon dan kerusi yang boleh menang.
Sehubungan itu kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar), BN sanggup meletakkan mereka yang sudah berusia jika pihak terbabit boleh membawa kemenangan.

Sejak awal tahun ini Najib selaku Pengerusi BN menekankan bahawa perikatan itu akan meletakkan calon-calon yang boleh menang pada pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam waktu terdekat. Mesej itu ditekankan berulang kali termasuk pada perhimpunan parti-parti komponen BN sejak kebelakangan ini.
Di sebalik mesej itu, beberapa pemimpin Umno pula menggesa komponen BN menyerahkan kerusi yang mereka kalah pada Mac 2008 kepada parti itu untuk bertanding.
Pilihan raya umum ke-13 merupakan pilihan raya umum pertama bagi Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.
BN dinafikan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihan raya umum lalu. Ia hanya memperoleh 140 daripada 222 kerusi dipertandingkan.
“Calon yang akan diketengahkan kali ini memang boleh menang dan memberi impak.
“Ini tidak bermakna calon sekarang tidak berwibawa atau tak boleh menang. Kadangkala walaupun sudah berusia, rakyat masih sukakan calon itu dan kita boleh kekalkan calon seperti itu,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.
Dalam temu bual dengan Berita Minggu, Tengku Adnan mengakui ramai yang gelisah termasuk wakil parti komponen dengan strategi akan meletakkan calon boleh menang.
“Sebenarnya bukan parti yang risau tetapi individu itu yang resah,” katanya.
Kata beliau, sebagai Yang Berhomat mereka yang terbabit perlu faham kapasiti sebagai wakil rakyat sama ada rakyat suka atau tidak.
“Kita sendiri boleh nilai diri,” katanya lagi sambil menambah, “kalau sayangkan parti, buatlah sesuatu yang boleh memenangkan parti dengan memberi laluan kepada orang lain.”
Katanya, “ia adalah konsep yang kita amalkan dan akhirnya pengagihan yang kita buat membuahkan hasil baik.”
Tengku Adnan berkata, kepimpinan BN akan mendengar kehendak komponen perikatan itu dan mereka akan rasional.
Sehubungan itu, kata beliau, perkongsian kuasa diamalkan BN akan diteruskan, tetapi disebabkan masa sudah berubah, ia melihat semula keperluan.
“Dulu, letak songkok pun boleh menang sekarang berbeza.
“Selain parti, rakyat juga menilai calon. Sebab itu, Presiden (Najib) mahukan calon dan kerusi boleh menang.
“Kalau kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri itu boleh menang, kita juga mahukan calon boleh menang dan berwibawa di situ,” kata beliau.
Katanya, rakyat mahu wakil yang memperjuangkan nasib mereka.
Oleh itu tegas beliau, “saya yakin daripada apa yang kita lihat, semuanya menjadi semakin realistik kerana pemimpin parti komponen sedar dan tahu kekuatan serta kelemahan masing-masing.
“Mungkin jika mereka letak calon A, BN akan kalah, jadi mereka boleh bincang tarik balik calon itu dan ganti orang lain yang lebih layak tanpa mengira parti asalkan dalam BN dan diterima rakyat.
“Perkara itu sudah dipersetujui semua parti komponen,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment