09 Oktober 2011

KUALA LUMPUR, 9 Okt [TMI]— PAS berhadapan dengan risiko kehilangan sokongan dan mencetuskan keadaan keluar beramai-ramai dari sayap bukan Muslim jika parti Islam itu tidak mengalah dalam isu hukum hudud, kata Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Hu Pang Chaw.
Menurut Hu, ramai ahli dewan itu tidak gembira dengan langkah PAS mahu memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.
Justeru beliau memberi amaran langkah itu akan menyebabkan ahli-ahli sayap paling muda PAS itu meninggalkan secara besar-besaran, sekali gus menjejaskan peluang parti komponen Pakatan Rakyat itu dalam pilihan raya umum.

Dewan itu dibentuk secara formal tahun lalu dengan dinaikkan taraf daripada sebuah kelab yang wujud sejak enam tahun lalu.
“Kita perlu mengakui bahawa dalam politik apa sahaja boleh berlaku,” kata Hu kelahiran Kelantan ketika menegaskan pendiriannya kepada The Malaysian Insider.
“Apabila anda jatuh cinta dengan seseorang, kalau apa pun terjadi, anda akan bersama. Tetapi apabila cinta sudah mula hilang, apabila perasaan sudah tiada, anda akan ikut jalan anda, saya akan ikut jalan saya sendiri,” katanya.
Minggu lalu, Hu mempertahankan pendiriannya bahawa parti itu perlu memberi penjelasan secukupnya kepada masyarakat bukan Islam berhubung cadangan untuk melaksanakan hukum hudud.
Katanya, jika penjelasan itu tidak diberikan dan bukan Islam belum memahaminya, selagi itulah PAS tidak boleh melaksanakan hukum berkenaan di sebuah negara yang didiami masyarakat majmuk.
“PAS perlu mengambil kira dan menerima pandangan saya sebagai ketua dan pemimpin yang mewakili masyarakat bukan Islam,” katanya sebelum ini.
Beliau memberitahu The Malaysian Insider bahawa persekitaran semasa ini adalah benar apabila penyokong-penyokong kalangan kaum Cina dalam PAS, yang bersedia untuk meninggalkan parti itu, jika mereka merasakan mereka sudah tidak memperoleh “hasil pelaburan.”
“Apabila mereka merasakan parti ini, tidak boleh dilihat sebagai parti terbaik, mereka akan bertindak keluar. PAS perlu ingat perkara ini,” katanya lagi.
PAS seharusnya menerima bahawa Malaysia merupakan negara pelbagai kaum dan oleh itu, melupakan usaha mahu mengenakan hukum hudud ke atas bukan Muslim kerana tindakan seumpama hanya akan menyebabkan kesan ke atas parti tersebut, tambah Hu.
Katanya, PAS seharusnya menggugurkan “fobia” bukan Muslim dan menerima persekitaran blok undi baru berbanding berpegang kepada pemikiran lama hanya memperjuangkan kepentingan kaum Melayu.
“Nasihat iklhas saya kepada pemimpin-pemimpin PAS ialah jika mereka benar-benar mahu mengambil alih Putrajaya, mereka harus menerima cara hidup ini,” katanya.
Dewan Himpunan Penyokong PAS yang mempunyai 20,000 ahli dikatakan berjaya merapatkan jurang antara PAS dan bukan Islam dan mewujudkan imej baru parti itu di kalangan kaum Cina dan India.
Awal bulan ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau masih menaruh harapan hukum hudud dapat dilaksanakan di negara ini sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13.
Bulan lalu, Nik Aziz berkata hukum hudud bukan ideologi sebaliknya adalah wajib untuk dilaksanakan dalam undang-undang Islam.
Nik Aziz juga menegaskan beliau lebih rela jika DAP mahu keluar dari Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud.
Baru-baru ini Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas bahawa hukum hudud tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.
Tambah Nik Aziz, hukum hudud hanya melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam tidak perlu risau sekiranya ia dilaksanakan.

0 Comments:

Post a Comment