15 Oktober 2011

MILAN, 15 Okt[TMI] — Penunjuk perasaan di seluruh dunia mula membuat persiapan menggerakkan protes besar-besaran terhadap bank, pembiaya kewangan dan ahli-ahli politik yang dituduh menguruskan ekonomi global sambil mendakwa menyebabkan berjuta-jta orang diselubungi kemiskinan ekoran ketamakan mereka.
Dirangsangkan oleh gerakan Occupy Wall Street yang berlarutan sejak sebulan lalu - dari bandar-bandar New Zealand sehingga ke Alaska — dari London, Frankfurt sehingga New York sendiri.

Pasukan polis antirusuhan mula bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkina — bandar-bandar seperti London dan Athens telah menyaksikan konfrontasi-konfrontasi tahun ini, tetapi mustahil untuk mengatakan berapa ramai yang sebenarnya akan menyertai meskipun sudah ada panggilan ke arah itu menerusi laman-laman media sosial.
“Saya sudah lama menunggu protes ini, sejak 2008,” kata Daniel Schreiber, 28, seorang editor di Berlin.
“Saya tertanya-tanya mengapa orang ramai tidak marah dan mengapa tidak berlaku apa-apa dan akhirnya, selepas tiga tahun ia berlaku,” kata beliau.
Protes dilabelkan sebagai satu tindakan aman.
Bagaimanapun dikhuatiri isyarat awal apa sahaja kemungkinan akan berlaku, satu kumpulan pelajar menyerbu pejabat-pejabat Goldman Sachs di Milan, Itali semalam.
Pelajar-pelajar telah dapat pecah masuk ke dalam bangunan Goldman Sachs di tengah-tengah daerah kewangan Milan.
Penunjuk perasaan dengan cepat bersurai tetapi conteng warna merah, yang membawa mesej “Beri kami duit” ditinggalkan pada dinding bagi menunjukkan kemarahan terhadap Perdana Menteri Silvio Berlusconi.
Penunjuk-penunjuk perasaan juga menyerbu ibu pejabat bank terbesar Itali UniCredit.
Polis Itali diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi perarakan melibatkan beribu-ribu orang di Rom berhubung pendekatan berjimat-jimat yang dirancang oleh kerajaan Berlusconi.
Di London, penunjuk perasaan bercadang untuk membanjiri bandar raya London - pusat kewangan antarabangsa utama - di bawah kain rentang “Occupy the Stock Exchange”.
“Kami ada orang ramai dari semua lapisan masyarakat yang akan menyertai kami setiap hari,” kata Spyro, salah seorang yang menulis pada laman sosial Facebook di London, yang telah menarik 12,000 orang pengikut hanya dalam beberapa minggu.
Spyro, seorang pelajar berusia 28 tahun yang mempunyai kerja dengan gaji yang baik dan tidak mahu memberi nama penuh berkata, sasaran utama protes global berkaitan dengan “sistem kewangan.” Marah dengan tindakan menyelamatkan bank-bank menggunakan wang pembayar cukai sejak 2008 tetapi masih membayar bonus dalam jumlah yang besar sedangkan pengangguran menjejaskan kehidupan ramai orang muda Britain, dia berkata: “Orang ramai dari seluruh dunia, kami berkata, ‘Cukuplah’.”
Penunjuk-penunjuk perasaan yang cenderung kepada gerakan Indignant Sepanyol mahu mengadakan perarakan antipendekatan berjimat-jimat di dataran Syntagma, Athens hari ini - lokasi bagi demonstrasi ekoran kegawatan kewangan Greek.
“Apa yang berlaku di Greek sekarang adalah mimpi buruk yang menanti negara-negara lain pada masa akan datang. Solidariti adalah senjata rakyat,” kata kumpulan Real Democracy dalam satu kenyataan mempelawa orang ramai menyertai protes.
Protes ini selain memfokus elemen “ketamakan dan rasuah” di kalangan golongan yang kaya-raya, juga mahu bank-bank membayar lebih dan kerajaan-kerajaan yang dipilih pula tidak mendengar suara rakyat.
“Ini masa bagi kami bersatu; ini masa bagi mereka mendengar; rakyat dari seluruh, bangkit!”, demikian mesej laman web United for #GlobalChange.
“Kami tidak dilayan dengan baik oleh ahli-ahli politik dan bank-bank, yang tidak mewakili kami... kami akan berdemonstrasi secara aman, bercakap dan menguruskan sehingga memastikan ia (perubahan) berlaku,” katanya.
Di Jerman, di mana simpati ke atas masalah hutang selatan Eropah masih bercapuk-capuk, pusat kewangan Frankfurt dan European Central Bank khususnya dijangka menjadi fokus perarakan yang hendak diadakan oleh gerakan Real Democracy Now.
Di Amerika Syarikat, beratus-ratus penunjuk perasaan berhimpun di Zuccotti Park, Manhattan dan mahu lebih ramai orang menyertai mereka. Langkah mereka itu menggerakkan usaha mengadakan tunjuk perasaan sedemikian di bandar-bandar utama yang lain di negara itu mulai hari ini.
Di Houston, penunjuk perasaan dijangka memperlihatkan kemarahan mereka ke atas syarikat-syarikat minyak besar.
Pun begitu beberapa penganalisis berpandangan bahawa momentum protes di beberapa negara seperti Greek dan Sepanyol berlalu dengan perlahan.
“Ramai orang bersetuju dengan protes daripada mengambil bahagian,” kata Profesor Mary Bossis dari Universiti Piraeus.
Katanya, meskipun ramai marah dengan pendekatan memotong gaji dan pencen manakala beratus-ratus pula kehilangan kerja, masih kekurangan pencetus bagi tindakan protes.
“Ada kemarahan, ada berang... tetapi apa yang perlu untuk mengubah situasi semasa masih keciciran,” katanya lagi. — Reuters

0 Comments:

Post a Comment