KUALA LUMPUR, 5 Okt [
sumber] — Bekas ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim berharap isu hukum hudud tidak lagi dilihat sebagai isu politik kepartian kerana khuatir ia akan membesarkan jurang kesalahfahaman dan taksub di kalangan pengikut parti politik orang Melayu-Islam.
“Saya amat ingin melihat dan mendengar bahawa isu-isu mengenai perundangan Islam atau sivil, bukan hanya merupakan soalan dan isu perkauman atau partisan.
“Isu hudud juga janganlah hanya menjadi isu politik kepartian dan taksub ahli politik parti-parti yang tertentu seperti yang berlaku sekarang ini,” kata Ismail
(gambar) yang juga bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ismail menambah, “kalau isu ini hanya dipandang dari sudut politik kepartian, maka akan bertambah besar jurang kesalahfahaman dan taksub di antara ahli-ahli parti politik, terutamanya PAS dan Umno kerana kedua-duanya merupakan parti yang dianggotai oleh orang Melayu dan Islam dan kedua-dua para pengikutnya amat taksub dengan parti dan dasar masing-masing.”
Malah menurut beliau, orang yang bukan ahli taksub parti politik, orang awam yang berkecuali, orang Islam yang tidak kisah tentang parti yang memerintah dan mencari undi, malah orang-orang bukan Melayu ingin tahu apakah sebenarnya undang-undang Islam yang dikatakan hudud.
Ismail yang juga bekas duta Malaysia ke Arab Saudi berkata, selama ini banyak pihak mengambil mudah bahawa undang-undang ini telah difahami oleh semua orang, terutamanya orang Islam.
“Sebab itulah apabila disebutkan undang-undang hudud, maka orang akan terbayang hukuman potong tangan bagi yang mencuri, rejam atau sebat bagi yang berzina dan sebagainya sedangkan isu-isu yang berkaitan dengannya seperti isu berhubung dengan pendakwaan, kesaksian, hikmah dan budi bicara hakim serta kesaksian utama atau pengakuan pihak tertuduh dalam kes-kes ini tidak difahami dengan baik.
“Oleh itu, apabila disebut hudud, maka perasaan dan pemikiran yang timbul dalam kepala orang ramai ialah takut dan gerun, ngeri malah kadang-kadang membawa kepada kejam dan sebagainya yang dilabelkan dalam hukuman hudud ini,” kata Ismail lagi.
Sehubungan itu kata Ismail, beliau berpandangan bahawa isu hudud “janganlah menjadi isu monopoli antara golongan politik kepartian.”
Katanya, isu tawar-menawar untuk mendapatkan simpati politik dan pengundi, isu tohmah dan kacau bilau antara orang Islam sedangkan orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak berminat, hanya melihat dan menonton telatah ganas dan mulut celupar orang-orang Islam, terutama para ulama yang tidak akan berhenti, malah akan terus-menerus dengan silat dan langkah sepak terajangnya menjadi hero dan wira.
“Kita perlu penjelasan yang rasional, pandangan dan perdebatan yang ilmiah, dialog yang berterus-terang antara semua kalangan orang Islam, yang pakar dalam undang-undang Islam dan undang-undang sivil, yang melibatkan organisasi Islam, agensi agama negara, pejabat peguam negara, ahli akademik dan para alim ulama yang berkecuali, tidak taksub dan terlalu keras mempertahankan ideologi sempit partinya,” tambah beliau.
Justeru katanya, sudah sampai masa bagi para ilmuan Islam mengambil langkah bijak supaya isu hudud ditanya para ulama, maksudnya dibincangkan dengan ikhlas dan jauh dari motif politik kepartian, malah dibincangkan dalam suasana ilmiah dan realiti masyarakat yang diiktiraf Islam sendiri, dalam gagasan “maqasid syariah.”
“Malah istilah ini sendiri haruslah dihalusi apakah maksudnya yang sebenar supaya semua orang akan terus-menerus berada dalam kebingungan dan berada dalam kegelapan, tidak faham hujung pangkalnya, apakah yang diperdebatkan oleh parti-parti politik Melayu dan bukan Melayu itu, apakah yang hendak dilaksanakan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam, dan yang paling teruknya apakah yang hendak dilaksanakan di sesetengah negeri dan tidak dilaksanakan di dalam negeri-negeri lain sedangkan Islam adalah merupakan agama bagi semua orang Islam, tanpa mengira latar belakang geografi dan sosial mereka dalam negara kita yang kecil ini?
“Apakah Islam itu satu atau banyak?” kata beliau lagi.