14 Oktober 2011

KENYATAAN AKHBAR DARIPADA PENGERUSI JARINGAN NGO ISLAM PERAK ( JAMAIE )
Saya terpanggil untuk membuat kenyataan paling penting mengenai polemik kefahaman dan perlaksanaan hukum hudud yang sudah berminggu-minggu dibincang di dada-dada akhbar. Khusus mengenai pandangan Professor Atory Hussin &   Prof. Madya Dr.S. Pandian di Akhbar Sinar Harian muka 2 edisi 12/10/11.
Perbincangan tentang hudud diakhbar-akhbar perdana adalah disekitar tuduhan bahawa isu hudud adalah mainan politik PAS dan PAS akan terus gagal melaksanakan hudud kerana DAP menentang.Dibincangkan juga betapa isu hudud ini adalah duri dalam daging yang akan menggugat hubungan dalaman Pakatan Rakyat.Digambarkan bahawa pelaksanaan hudud tidak akan pernah seeuai kerana majmuknya negara ini.
Berikut kenyataan kami.

i)    Menyalahkan PAS dalam polemik hudud adalah tidak meguntungkan sesiapa.Kenapa tentangan DAP terhadap hudud diraikan seolah-olah satu kemenangan sedangkan tentangan mati-matian MCA terhadap hudud disepikan. Seolah-olah jika hudud gagal dilaksanakan ia merupakan kemenangan kepada  imej politik UMNO. Hakikatnya adalah, baik tentangan DAP atau MCA terhadap hudud adah manifestasi ‘kegagalan’ dakwah orang-orang Islam tidak kira UMNO atau PAS.Tidak ada apa-apa yang perlu diraikan. Sebenarnya yang perlu ditangisi adalah kenapa masih ada orang-orang Melayu-Islam yang menentang hudud. MCA dan DAP tak faham hudud itu biasa tetapi dolak dalik UMNO menolak kesesuaian pelaksanaan hudud di Malaysia khususnya di Kelantan adalah sangat luar biasa.
ii)   Benar enakmen syariah bekaitan hudud telah berjaya diwartakan oleh kerajaan pimpinan PAS di Kelantan tahun 1993 dan di Terengganu tahun 2003. Secara positif seluruh orang-orang beriman sepatutnya bersyukur dan mengucapkan tahniah kepada PAS kerana di mana-mana sahaja jika ada kesempatan menguasai kerajaan dengan majoriti 2/3 PAS akan mengusahakan enakmen-enakmen syariah di luluskan oleh dewan-dewan legistatif. Bukankah itu tanda kesungguhan dan kejayaan PAS?
iii)   Benar terdapat kelemahan PAS dalam kesungguhan mereka mengusahakan supaya enakmen-enakmen tersebut dapat dilaksana dan dikuatkuasakan. Alasan-alasan seperti halangan kerajaan persekutuan dan ‘seolah-olah’ berlaku halangan perlembagaan adalah rintangan yang sering diberikan oleh PAS. Halangan sebegini bukan persepsi tetapi satu realiti yang selalu diulang-ucap oleh pemimpin-pemimpin politik khususnya daripada UMNO, MCA, DAP & Gerakan. Kami bersetuju jika ini dilihat sebagai kelemahan dalam iltizam PAS. Namun orang-orang beriman mesti membantu mengatasi kelemahan PAS tersebut dengan turut terlibat memberikan sokongan moral dan nasihat professional kepada PAS tentang kaedah-kaedah bagi mengatasi halangan-halangan tersebut. Bukankah merealisasikan perlaksanaan undang-undang syariah adalah tanggungjawab semua orang-orang beriman.
iv)   Berbanding antara kelemahan PAS (yang tidak disengajakan) dengan komitmen bermati-matian pemimpin-pemimpin UMNO, MCA dan Karpal Singh untuk menentang perlaksanaan hudud – orang-orang beriman mesti tahu menentukan kewajaran sikap dan tindakan. Kelemahan PAS rawatannya adalah berikan kerjasama dan tunjuk ajar. Namun keangkuhan UMNO & MCA memerlukan amaran dan diberikan kata dua. Jika benar UMNO membenci hudud, UMNO mesti mempunyai keberanian untuk berterus terang. Setakat ini kami menyanjung sikap Ketua Umum PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuaka menyokong hudud dengan alasan ia adalah tanggungjawab agama. Apa salahnya menegakkan kepentingan politik demi melaksanakan tuntutan agama.
v)    Alasan demi alasan pemimpin-pemimpin besar UMNO daripada dulu (contohnya sikap tegas Dr. Mahathir mempersenda hudud sebagai undang-undang yang akan melemahkan umat Islam) hingga sekarang (ucapan demi ucapan Dato’ Najib Razak yang mengatakan hudud tidak sesuai di Malaysia) yang mempertikaikan kesesuaian undang-undang hudud adalah sangat dikesali. Jika benar keadaan zaman Dr. Mahathir tidak sesuai untuk perlaksanaan hudud kami ingin bertanya apa pula langkah-langkah komprehensif kerajaan UMNO/BN daripada zaman beliau hingga era Dato’ Najib sekarang untuk membantu mewujudkan suasana ‘sesuai hudud’ tersebut. sekurang-kurangnya kerajaan PAS Kelantan telah berusaha menutup lubang-lubang maksiat dan mungkar dengan mengharamkan judi, mengawal ketat penjualan arak, mengawal hiburan dan budaya lucah serta mengamalkan pentadbiran bebas rasuah. Persoalan yang nak ditanya kepada UMNO – menolak hudud sekeras-kerasnya dan terus mempromosikan budaya ‘tidak mesra hudud atas acuan MCA’ tidakkah dilakukan juga kerana kepentingan politik ? kepentingan untuk meminggirkan agama, bukan?
vi)   Bagaimana mungkin akan wujud suasana ‘sesuai hudud’ jika dasar-dasar UMNO masih terus disuburkan dengan penggalak kepada kesalahan-kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman hudud. Zina terus subur dengan dasar-dasar hiburan dan perlesenan tempat hiburan mesra zina. Mencuri terus subur dengan suasana ketidakadilan ekonomi, pembaziran dan rasuah yang berleluasa. Disamping undang-undang mencuri dan undang-undang rasuah yang ‘mesra penjenayah’. Minum arak terus digalakkan tanpa ada kawalan dan perlaksanaan undang-undang yang berkesan. Jangan lupa dalam keadaan kuasa ada ditangan, Perdana Menteri Dato Najib terus meluluskan lesen-lesen judi baru sejak beliau menerajui Putrajaya. Persoalannya jangan bercakap tentang suasana yang tidak ‘sesuai hudud’ jika pemimpin-pemimpin UMNO adalah punca utama kepada kewujudan suasana tidak ‘sesuai hudud’ tersebut. Jangan harapkan rakyat memakan ramuan sihat jika racunlah yang ditabur dalam makanan harian mereka!
vii)  Sekalung tahniah kepada Mufti Kerajaan Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang memberikan respon penting tentang perlunya Kerajaan persekutuan memberikan laluan kepada perlaksanaan hudud di Kelantan. Pihak-pihak lain yang tidak mahir tentang ‘komplexiti’ undang-undang syariah (walaupun anda bergelar Professor dalam bidang-bidang lain) – ambillah pesanan Rasulullah – jika tiada perkara baik yang nak diucapkan lebih baik diam.
viii)  Akhirnya perlu diingatkan Islam adalah agama ciptaan Allah, milik Allah dan kita beragama untuk Allah. Islam berbeda dengan agama-agama lain kerana Islam adalah pilihan Allah untuk bukan sahajai penganut Islam tetapi kebaikan Islam akan merahmati seluruh manusia dan alam. Kalau beriman, percaya dan yakinlah dengan seluruh peraturan Islam. Tugas orang beriman adalah menjadi jurujual yang terbaik untuk produk bernama Islam. Jurujual yang daripada awal-awal lagi mengaku produknya tidak baik dan tidak sesuai mestilah dipecat daripada terus menjadi jurujual. Jurujual Islam (orang beriman) adalah orang-orang yang akan mempertahankan produknya dan secara positif dan proaktif memberikan nasihat dan nilai tambah kepada produk dan strategi pemasaran. Jurujual palsu Islam bertaubatlah demi pilihan antara syurga dan neraka. Menjadi harapan kami supaya semua pihak terutama media turut mengambil peranan mendidik masyarakat tentang Islam khususnya mengenai falsafah undang-undang hudud. Elakkan mempolemikkan isu hudud yang bakal menambahkan kekeliruan masyarakat. Bagi PAS, nasihat kami perbaiki dan pelbagaikan strategi supaya Islam khususnya hudud dicintai sebagaimana cintanya manusia kepada pencipta hudud iaitu Allah. Bagi UMNO ambil yang jernih buang yang keruh. Belajarlah untuk mencintai dan menghargai segala peraturan-peraturan Islam.Kepada UMNO atau PAS, hudud bukan liabiliti tetapi aset. Perjuangkanlah!!

Dr. Haji Khairuddin Bin Dato’ Abdul Malik

Pengerusi Jaringan Muafakat NGO Islam Perak (JAMAIE)

0 Comments:

Post a Comment