19 Oktober 2011

PAS tak akan sertai HIMPUN

PAS memutuskan tidak akan menyertai Perhimpunan Sejuta Umat atau HIMPUN yang tujuannya bagi menyelamatkan akidah umat Islam di ibu negara pada Sabtu ini.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

"PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program," kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Penganjur acara itu pada Selasa memberi jaminan HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.

Secara khusus, pengerusi bersama himpunan itu Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi - Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat itu, Hadi berkata, PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama.

"Sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, katanya, PAS memandang berat usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

"Agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah," kata Hadi.

Beliau juga menegaskan PAS menyokong segala usaha sebegitu tetapi berpendirian bahawa pengukuhan akidah hendaklah dilaksanakan "menerusi jalan dakwah secara damai".

Ia sebagaimana  Islam diterima masyarakat rantau ini secara damai, tambahnya.[MK]

0 Comments:

Post a Comment