09 Oktober 2011

JAKARTA 8 Okt. - Sekurang-kurangnya 20,000 rakyat Indonesia yang disahkan sakit jiwa dipasung oleh keluarga mereka tanpa diberi sebarang rawatan.
Keadaan ini berlaku kerana keluarga mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai masalah gangguan jiwa selain faktor kos perubatan yang mahal serta kesukaran memperoleh akses terhadap rawatan perubatan.
"Sikap agresif, tekanan emosi, paranoid dan memusuhi orang lain yang ditunjukkan oleh orang yang sakit jiwa membuatkan masyarakat sekadar memasung ahli keluarga yang mempunyai masalah itu sedangkan ia merupakan gejala penyakit," kata Pengarah Pembangunan Kesihatan Jiwa di Kementerian Kesihatan, Irmansyah.
Menurutnya, masyarakat masih beranggapan gangguan jiwa bukanlah persoalan perubatan, sebaliknya, masalah itu tercetus akibat rasukan syaitan.
Sehubungan itu, persepsi sedemikian menyebabkan sebahagian besar keluarga yang mempunyai anggota yang menghidap sakit jiwa menolak untuk dirawat di hospital.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan mengenai jumlah pesakit jiwa di Indonesia pada 2007, gangguan jiwa tahap kritikal di negara itu mencatat 0.46 peratus atau sekitar sejuta orang.
Selain memasung mangsa, gangguan jiwa turut mengundang pelbagai persoalan sosial lain termasuk perceraian, cubaan bunuh diri, pergaduhan, pengambilan dadah serta lain-lain masalah sosial dalam masyarakat.
Pada masa sama, kemudahan rawatan sakit jiwa di Indonesia juga sangat terbatas dengan hanya 48 hospital sakit jiwa dengan katil yang ditawarkan hanya berjumlah 7,716.
Begitu juga dengan doktor pakar dalam bidang penyakit berkenaan yang direkodkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga sangat kecil jika dibandingkan dengan nisbah penduduk iaitu 1: 30,000. - [Sumber]

0 Comments:

Post a Comment