27 November 2011

MACHANG 27 Nov. – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan akan memastikan hanya mangsa banjir yang didaftar dan tulen sahaja diberi bantuan di bawah skim bantuan bencana alam.
Pengarahnya, Md Noor Chek berkata, jabatan itu membuat pemantauan di semua pusat pemindahan banjir bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pemberian bantuan kerajaan.
"Bantuan hanya untuk mangsa banjir tulen yang berdaftar dengan Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Alam peringkat jajahan,” katanya kepada Bernama ketika melawat kawasan banjir di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan bahawa mangsa banjir yang tidak tinggal di pusat pemindahan tetapi mendaftar sebagai mangsa banjir untuk mendapat bantuan daripada JKM.
"Kita sentiasa membuat pemeriksaan mengejut ke pusat-pusat pemindahan yang diwartakan bagi memastikan tidak wujud mangsa banjir yang cuba mengambil kesempatan itu,” katanya.
Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Dr Wan Mansor Hamzah dalam kenyataannya semalam berkata ada pusat pemindahan yang merekodkan jumlah mangsa banjir hampir mencecah 1,000 orang, tetapi setelah pihaknya membuat pemeriksaan kesihatan hanya kira-kira 200 sahaja yang ditempatkan di pusat itu. - Bernama

0 Comments:

Post a Comment