03 November 2011

KUALA LUMPUR, 3 Nov [TMI]— Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut melahirkan bantahan berkenaan Seksualiti Merdeka — yang sedang berlangsung sekarang — dengan menegaskan program itu patut ditentang jika membela amalan gay dan transeksual di Malaysia.
Penganjuran program itu mendapat reaksi berbelah bahagi daripada pertubuhan bukan kerajaan dan parti-parti politik.

“Saya tidak tahu apa yang sebenarnya hendak dibuat dalam program Seksualiti Merdeka, namun jika ia satu kempen terbuka ke arah menjustifikasikan gay dan transeksual, maka itu patut ditentang,” kata Asri (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.
Felo Pusat Pengajian Islam Oxford ini menambah, jika ada penganut agama tertentu yang rasa itu tidak salah untuk kelompok agama mereka, terpulang kepada pihak berkenaan untuk menerima amalan sedemikian.
Namun kempen terbuka ke arah kerosakan umum patut dibantah, kata beliau lagi.
“...ada bezanya antara kesalahan atau dosa seseorang... individu dengan kempen ke arah dosa.. jika ini satu kempen, maka memang patut dibantah secara tegas,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, jika mahu mereka boleh mengadakan “bengkel harian” sebagai terapi psikologi untuk golongan tersebut.
“Di samping memberi ruang mereka meluahkan masalah diberikan juga jalan penyelesaian dari pelbagai sudut termasuk agama.
“Namun justifikasi untuk melebarkan atau meneruskan aktiviti tersebut tidak boleh dibenarkan,” kata ahli akademik Universiti Sains Malaysia ini.
Oleh itu tambah beliau, mana-mana parti politik yang bersekongkol bererti mereka tidak layak menjadi kerajaan untuk sebuah negara bernama Malaysia.
“Di sini kejelasan pendirian perlu dinyatakan,” katanya.
Dua pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa menghalang program itu iaitu Wira Perkasa dan Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).
Majlis Peguam pula meminta kerajaan mengambil tindakan membela golongan minoriti seksualiti.

0 Comments:

Post a Comment