06 November 2011

Berkorban untuk tegak syariat Islam

KUALA LUMPUR, 6 Nov[HD]: Agenda terpenting penghayatan Hari Raya Korban adalah supaya masyarakat Islam seluruhnya dapat melakukan pengorbanan sama ada dari segi harta benda, wang ringgit, usaha tenaga, idea pemikiran dan sebagainya untuk mempastikan syariat Islam dapat ditegakkan di atas muka bumi ini khususnya di negara Malaysia yang kita cintai.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan sempena Hari Raya Idil Adha tahun ini akan membangkitkan semangat rakyat Malaysia keseluruhannya untuk melakukan perubahan di dalam negara ini khususnya di dalam menukar sistem pemerintahan yang berteraskan undang-undang sekular ciptaan manusia yang banyak kelemahan dan kekurangan kepada undang-undang ciptaan Allah yang syumul dan sempurna.

“Semoga Allah memberikan kekuatan untuk kita meneruskan perjuangan ini,” ujarnya ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan dalam satu kenyataan.
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, beliau dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya Idul Adha 1432H kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat yang berada di seluruh negara.
Katanya, kepada anak perantau yang akan kembali beraya ke kampung masing-masing diharapkan semoga sentiasa berhati-hati dan berwaspada sama ada menaiki kenderaan sendiri ataupun awam.
Tambahnya, semoga perjalanan pulang ke kampung diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.
Beliau menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ingin mengambil kesempatan sempena Hari Raja Haji ini untuk mengucapkan selamat melaksanakan ibadah haji kepada bakal-bakal haji dan hajjah Malaysia yang kini telah berada di Makkah Al Mukarramah.
“Tahniah kerana telah mendapat jemputan untuk menjadi tetamu Allah ALLAH SWT dan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendoakan semoga beroleh haji mabrur dan selamat pulang ke tanah air,” ujarnya.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga, katanya mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya memahami dan menghayati intipati sebenar maksud Hari Raya Korban dan bukan sekadar merayakannya hanya dengan menyembelih binatang korban serta ziarah menziarahi sanak keluarga dan rakan taulan.

0 Comments:

Post a Comment