13 November 2011

KUALA LUMPUR, 13 Nov[TMI] — Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan pihak-pihak yang tidak berpuas hati harus merujuk kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu anak tidak sah taraf atau mereka lahir kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa masing-masing.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Jamil Khir (gambar) berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk membuat keputusan sama ada mahu mengkaji balik fatwa sedia ada ataupun sebaliknya.
“Segala keputusan yang dibuat untuk meminda undang-undang ataupun akta berkaitan isu anak tidak sah taraf ini seharusnya mengikut keputusan yang disepakati oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Ini perkara berkaitan agama, tidak boleh dibuat mengikut pendapat individu sahaja,” jelas beliau mengulas cadangan agar fatwa sebelum ini dikaji semula.
Jamil Khir menambah perkara berkaitan perundangan Islam tidak boleh dilaksanakan melalui pendapat dan penilaian individu, sebaliknya harus melalui keputusan mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan kerana badan tersebut mempunyai autoriti berkenaan isu tersebut.
Sebelum ini, pertubuhan bukan kerajaan Sisters in Islam (SIS) menggesa kerajaan persekutuan mencontohi langkah kerajaan negeri Terengganu yang membenarkan nama bapa disertakan ke atas bayi-bayi luar nikah atau mereka lahir kurang daripada enam bulan selepas perkahwinan ibu bapa masing-masing demi masa depan kanak-kanak terbabit.
Isu susulan pendirian Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga turut menasihatkan keluarga Muslim, pasangan yang menghadapi masalah berkenaan agar mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di mahkamah jika enggan menerima pengakuan si lelaki bahawa dia adalah bapa yang sah.
Menurut Juanda, keengganan JPN menerima pengakuan seseorang bapa sebenarnya memalukan mereka dan ia amat jelas bertentangan dengan Islam lebih-lebih lagi jika sudah ada fatwa negeri sebagaimana diputuskan oleh kerajaan negeri Perlis.
Beberapa sarjana Islam juga menyeru agar pihak berkuasa agama khususnya Majlis Fatwa Kebangsaan dengan segera meneliti perkara tersebut.
Prof Dr Mohamad Ajmal Abdul Razak Al-Idrus dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa berkata, satu pertemuan perlu dipanggil untuk membincangkan isu berkenaan di kalangan sarjana yang berlainan aliran sunah untuk “mencari satu penyelesaian secara progresif.”
Kata beliau, sudah ada kes-kes masa lalu di mana menerima idea daripada aliran lain, antaranya berkaitan tunai haji, apabila lelaki dan wanita boleh bersolat bersebelahan, di depan atau belakang satu sama lain dan menyentuh satu sama lain secara tidak sengaja tidak membatalkan sembahyang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia Prof Dr Mohamad Hashim Kamali pula berkata, dalam Islam seseorang bapa boleh menuntut hak keibubapaan meskipun anaknya lahir akibat hubungan luar nikah.
Laporan media bulan lalu ada menyebut maklumat mengenai individu yang mengaku bapa kepada anak luar nikah kini boleh dimasukkan dalam sijil kelahiran bayi berkenaan yang dikeluarkan JPN.
Pun begitu ada juga beberapa mufti yang berpandangan sebaliknya bahawa fatwa semasa tidak harus dikaji balik.

0 Comments:

Post a Comment