25 November 2011

Suhakam : Notis 30 hari tak praktikal

KUALA LUMPUR, 25 Nov[TMI] — Suhakam mengemukakan 11 syor kepada pentadbiran Najib agar meminda peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 termasuk mengkaji semula tempoh notis wajib 30 hari atas alasan ia tidak praktikal dengan tujuan perundangan baru itu.
Selain itu kata beliau, kajian semula diperlukan berhubung peruntukan mengenai larangan terhadap mana-mana perhimpunan dalam jarak 50 meter dari had mana-mana tempat yang dilarang kerana ia tidak tidak realistik di kebanyakan bandar dan pekan.
Rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam dan akan dibahaskan oleh Dewan Rakyat minggu depan.
Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, setelah meneliti peruntukan-peruntukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, pihaknya berpendapat pindaan ke atas beberapa peruntukan harus dibuat bagi memastikan hak untuk menyuarakan pendapat melalui perhimpunan aman dilindungi dan dapat dinyatakan dengan penuh erti yangmencerminkan intipati hak berkenaan.

“Sebahagian daripada peruntukan di bawah Rang Undang-undang ini mengenakan terlalu banyak sekatan dan memberikan terlalu banyak kuasa budi bicara kepada pihak polis, sekali gus menjejaskan hak orang ramai untuk menganjur atau menyertai perhimpunan aman,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Katanya Suhakam mengalu-alukan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman selaras dengan kebebasan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 20 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Kata beliau, walaupun pihaknya menyokong matlamat rang undang-undang ini, namun ia menekankan bahawa dalam pelaksanaannya, keseimbangan sewajarnya mesti ada antara menganjur dan mengambil bahagian dalam perhimpunan awam, serta perlindungan hak dan kebebasan orang lain yang secara tidak langsung telah menerima kesan dari perhimpunan berkenaan.
“Pengumuman untuk memansuhkan Seksyen 27, 27A, 27B dan 27C Akta Polis 1967 adalah dialu-alukan kerana ia mengiktiraf semangat dan menghormati hak asasi manusia.
“Bagaimanapun, rang undang-undang menggantikannya mengenakan terlalu banyak sekatan dan syarat-syarat untuk orang awam dan bukannya memudahkan kebebasan berhimpun,” kata beliau lagi.
Katanya, walaupun Suhakam mengakui bahawa keamanan dan stabiliti adalah yang paling utama dan bahawa ketenteraman awam perlu dikekalkan pada setiap masa, perhimpunan awam yang aman menyediakan ruang untuk orang ramai melahirkan perasaan mereka mengenai isi-isu yang menjadi kebimbangan.
“Justeru, Suhakam menyeru agar kerajaan mempertimbangkan cadangan yang dibuat oleh pelbagai pihak dan membuka ruang untuk perbincangan dan wacana awam mengenai kebebasan berhimpun sebelum menggubal rang undang-undang menjadi akta bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang disediakan adalah selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia,” katanya lagi.
Syor-syor lain ialah:
- Perbezaan yang lebih jelas dibuat antara takrifan “perhimpunan” yang termasuk perarakan dan “protes jalanan”;
- Hak untuk berhimpun secara aman tanpa senjata harus dipanjangkan kepada bukan warganegara kerana mereka juga mempunyai hak untuk meluahkan pendapat dan hak untuk didengari;
- Menimbang semula peruntukan mengenai penyertaan kanak-kanak, menurunkan had umur 15 tahun yang dibenarkan kepada had umur yang lebih sesuai memandangkan adanya obligasi perjanjian di bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak;
- Mengkaji semula Fasal 13 dengan memasukkan model kerjasama yang membenarkan pihak polis dan pihak penganjur perhimpunan untuk berbincang dan memperoleh kata sepakat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perhimpunan bagi tujuan mempermudahkan perhimpunan selaras dengan matlamat rang undang-undang ini;
- Membenarkan rayuan dibuat ke atas sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak polis kepada mahkamah dan bukannya kepada Menteri Dalam Negeri;
- Mengkaji semula Fasal 19 yang menganggap penganjur sebagai seseorang yang menggalakkan, menaja, mengadakan atau menyelia perhimpunan, atau menjemput atau merekrut peserta atau penceramah bagi perhimpunan. Mereka ini adalah semata-mata menjalankan hak asasi demokratik mereka dan tidak patut dipertanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku apa-apa ketidakpatuhan;
- Memasukkan peruntukan-peruntukan di bawah Prinsip-Prinsip Asas mengenai Penggunaan Kuasa dan Senjata Api oleh Pegawai Penguatkuasaan Undang-undang PBB;
- Memastikan akses sepenuhnya dan bukan hanya yang munasabah, kepada media dalam perhimpunan awam di bawah Fasal 24; dan
- Memasukkan peruntukan yang membenarkan pihak luar seperti Suhakam, Majlis Peguam dan badan-badan berkanun lain yang berkaitan untuk memantau perhimpunan awam

0 Comments:

Post a Comment