28 Julai 2011

KUALA LUMPUR, 28 Julai[MI] — Pendakwa bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady sedia menerima pelawaan berdialog Mufti Perlis Dr Juanda Jaya mengenai isu Wahabi dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.
“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa ini kepada The Malaysian Insider hari ini.
Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.
“Objektif pertemuan ialah ia mesti membawa kepada bahan perbincangan yang membawa hasil, benar-benar berdisiplin atas semangat persaudaraan,” kata beliau sambil menjelaskan, pertemuan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Isnin lalu bersifat tertutup dan maklumatnya tidak wajar diumumkan kepada publik.
“Saya sudah berumur, sudah (lebih) 60 tahun... saya tidak mahu bertengkar dengan sesiapa. Perbincangan seharusnya diadakan dengan penyertaan pakar dan secara tertutup, saya harap begitu,” kata beliau yang berusia 68 tahun ini.
Uthman diminta mengulas laporan The Malaysian Insider pagi tadi memetik Juanda yang mempelawa Tokoh Maal Hijrah itu agar berdialog mengenai polemik Wahabi dengan mempelawanya bertandang ke Perlis semasa Ramadan bagi menjernihkan isu “kesesatan Saudi.”
Juanda berkata Jabatan Mufti Perlis akan menghantar surat hari ini mempelawa Uthman, yang dijemput memberi taklimat pada satu mesyuarat MKN Isnin lalu, agar memberikan penjelasan mengenai isu tersebut khususnya kepada warga Perlis.
“Sebenarnya kami hendak menjemput beliau datang secepat mungkin, tetapi oleh kerana kita sudah menghampiri bulan Ramadan, jadi lebih elok dialog diadakan ketika bulan puasa.
“Lagipun bulan Ramadan adalah bulan yang mulia, kita boleh membincangkan isu ini dalam suasana jernih dan terbuka mengenai apa yang beliau (Uthman) mendakwa sebagai wujudnya kesesatan Saudi (dalam isu Wahabi),” kata beliau.
Juanda menegaskan, apa yang didakwa diperkatakan oleh Uthman kononnya wujud “kesesatan” berkenaan isu fahaman Wahabi adalah tidak betul.
“Apabila kenyataan beliau mengaitkan dengan Arab Saudi, ia menimbulkan kekeliruan, sebab ramai rakyat negara ini pergi ke Saudi dan bersolat di masjid-masjid di negara itu,” katanya.
“Malah kita juga menjemput imam-imam dari Arab Saudi datang ke negara, jadi apabila isu ini dibangkitkan, ia menjadi satu isu... jadi saya berharap beliau dapat datang ke Perlis dan menjelaskan kepada kami tentang isu sebenarnya,” kata Juanda lagi.
Uthman telah dijemput untuk memberikan taklimat mengenai isu Wahabi pada sesi anjuran MKN di Putrajaya, Isnin lalu.

0 Comments:

Post a Comment