26 Julai 2011

KUALA LUMPUR, 26 Julai[MI] — Seorang penolong pengarah yang menjadi perhatian di sebalik polemik fahaman Wahabi tahun lalu, hari ini mempertahankan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menegaskan, isu tersebut menjadi semakin “serius dan rumit.”
Zamihan Mat Zin, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia berkata, amalan fahaman Wahabi ini berleluasa dengan mendapat perlindungan dan campur tangan ahli-ahli politik, malah menular ke agensi-agensi agama di peringkat nasional dan negeri.
“Ya, semakin serius dan rumit.. ia berkembang dengan mendapat campur tangan ahli-ahli politik, melibatkan kebanyakan parti politik,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Menurut beliau, parti-parti politk dimaksudkan termasuklah Umno, PAS dan PKR.
Zamihan juga mengakui bahawa ada bukti yang menujukkan amalan fahaman Wahabi membawa pengamal dan pengikutnya ke arah pemikiran yang radikal dan kemudian ke arah terorisme.
“Ada bukti ke arah pemikiran radikal dan mereka boleh menggunakan kekerasan... memang ada bukti, sebab itu kerajaan bertindak,” kata beliau yang turut mengakui bahawa mesyuarat MKN semalam ada sangkut paut dengan taklimat-taklimat tahun lalu dan satu seminar anjuran kerajaan negeri Perlis di ibu negara tahun ini.
“Oleh itu tindakan yang diambil oleh MKN memang wajar, kita kena bertindak kerana jika tidak, akan menjadi semakin serius,” kata beliau diminta mengulas laporan media semalam bahawa MKN mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara tersebut.
Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan dalam terorisme.
Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi dan di Bukit Aman.
Bagaimanapun Zamihan terkejut dengan pendedahan hasil perbincangan dalam mesyuarat semalam dengan begitu cepat.
Katanya, ada pihak yang tidak dijemput turut menghadiri mesyuarat semalam dan difahamkan telah mendedahkan hasil mesyuarat semalam.
Zamihan tidak menghadiri mesyuarat semalam.
Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.
Mereka ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.
Zamihan menjadi perhatian ekoran pendedahan media tahun lalu susulan satu sesi taklimat yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, Juanda, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitang dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider ketika itu, Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.
Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan-tulisannya.
Dalam ulasan kepada The Malaysian Insider pagi ini, Shahidan menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan buat selama-lamanya dan tidak terus dibangkitkan termasuk dilaporkan menjadi fokus MKN semalam.
Sehubungan itu beliau yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno mahu satu dialog diadakan bersama pihak-pihak yang dilabel sebagai pengamal dan pengikut fahaman Wahabi.
Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.
Sambil mempertikaikan pendirian MKN dan pihak berkuasa agama dalam isu ini, Asri berharap ulama-ulama muda itu, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.
Sehubungan itu, Asri berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi.
“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.
“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insider hari ini.
Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”
“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”
Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”
Beberapa pemimpin Umno yang lain juga tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa ekoran perkembangan terbaru ini.
Seorang lagi ahli Majilis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tindakan melabel kumpulan atau individu tertentu termasuk ke atas Asri dengan aktiviti terorisme hanya akan memecahbelahkan umat Islam negara ini.
Katanya, beliau tidak bersetuju dengan tindakan melabelkan orang tertentu sebagai pengamal Wahabi dan kemudian merumuskan mereka sebagai pengganas.
Dalam pandangan yang disiarkan menerusi blognya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin melahirkan pendirian agar Asri dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.
Khairy menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat MKN hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

0 Comments:

Post a Comment