02 Julai 2011

Putrajaya isytihar Bersih NGO haram

KUALA LUMPUR, 2 Julai[Sumber] – Putrajaya hari ini mengisytiharkan Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram - seminggu sebelum ia merancang untuk menganjurkan Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.
Ia perkembangan terbaru dalam siri tindakan keras diambil oleh Putrajaya sejak lebih seminggu lalu.
“Menteri Dalam Negeri telah mengisytiharkan bahawa pertubuhan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 berkuat kuasa 1 Julai (semalam),” kata Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman hari ini.
Awal minggu ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kemeja-T Bersih 2.0 yang dijual dan dipakai adalah bahan haram dan menjalani undang-undang negara.
Lebih 100 orang aktivis dan pemimpin politik Pakatan telah ditahan. Semalam polis menegaskan pihaknya telah menutup segala bentuk perbincangan dengan sekretariat Bersih 2.0.
Dalam kenyataan hari ini, Abdul Rahman juga berkata Kementerian Dalam Negeri telah menyiasat pertubuhan Bersih 2.0 dan mendapati bahawa ia bukan satu pertubuhan berdaftar.
Bagaimanapun kata beliau, Bersih 2.0 memenuhi takrifan pertubuhan yang berdaftar di bawah Jadual 1, Akta Pertubuhan 1966.
Menurut Abdul Rahman, Bersih 2.0 telah bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini, menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu dan melalui aktiviti-aktivitinya telah memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.
Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai menyenaraikan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya, mendapatkan sokongan Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun BN dan pertubuhan-pertubuhan yang pro perikatan itu membantah.
Perkasa dan Pergerakan Pemuda Umno mahu mengadakan perhimpunan balas membantah Himpunan Bersih 2.0 pada hari yang sama di ibu negara.

0 Comments:

Post a Comment