19 September 2011

KUALA LUMPUR, 19 Sept: AJK PAS Pusat yang juga Exco Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyatakan beliau tetap akan bersama PAS dan tidak berminat untuk menyertai Umno.

Beliau berkata, tiada sebab untuk beliau menyertai Umno yang disifatkannya sedang "nazak dan hampir karam".

"Dalam hati saya hanya ada perjuangan Islam (PAS), bukan Umno.

“Untuk apa saya buat begitu (masuk Umno) sedangkan Umno dalam keadaan nazak, jentera dan kapalnya semua hampir tenggelam," katanya tegas.

Beliau berkata demikian sebagai menafikan spekulasi yang ditimbulkan dalam blog bahawa beliau akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno dalam masa terdekat.

Menurut beliau yang menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, PAS tetap pilihannya kerana beliau yakin dengan perjuangan PAS kerana dasar perjuangan Islam parti itu yang berpandukan berpandukan Al-Quran dan Al-sunah, Ijma' Ulama dan Qias.

"Semenjak cerita bohong ini disebarkan dalam blog dan laman sesawang facebook saya telah menerima 15 panggilan telefon dan 25 SMS megenai hal tersebut.

"Semua buang masa, dan lebih baik saya beri tumpuan dengan kerja pentadbiran kerajaan negeri Selangor Pakatan Rakyat (PR) untuk pertingkatkan ekonomi negeri Selangor, " katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Gombak semalam.

Turut hadir bersama Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang Shari Sungib, pimpinan Pakataran Rakyat Selangor dan AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor.

Sementara itu beliau sekali lagi turut menafikan dakwaan bahawa ada berjumpa dengan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menyatakan hasrat menyertai Umno.

"Saya harap  provokasi murahan yang dilemparkan terhadap saya dapat menenangkan semua rakyat. Yakinlah saya tetap dengan perjuangan PAS dan terus berada dalam kerajaan Pakatan Rakyat sehingga akhirnya bagi menentang kezaliman Umno BN," tegasnya.[harakah]

0 Comments:

Post a Comment