17 September 2011

KUALA LUMPUR 17 Sept – Seorang pemimpin DAP Bahagian Bakri di Johor akan disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin parti terhadap dakwaan menyeleweng dana parti berjumlah RM45,000.
Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai berkata, dua ketua cawangan DAP dari Johor telah membuat aduan dengan jawatankuasa berkenaan dua minggu lepas mengenai dakwaan tersebut.
"Kami akan bermesyuarat Jumaat depan untuk meneliti dakwaan itu. Mereka yang terbabit telah dimaklumkan untuk hadir di hadapan jawatankuasa ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sejak beberapa minggu lepas, dakwaan itu timbul menerusi emel bahawa seorang pemimpin kanan DAP di Bahagian Bakri telah menyeleweng dana parti yang dikumpul sejak empat tahun lepas.
Emel berkenaan mendakwa pemimpin itu telah memindahkan dana parti ke akaun sebuah syarikat dan menggunakan wang dari dana berkenaan untuk membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda yang tidak didaftarkan di bawah nama parti itu. – Bernama

0 Comments:

Post a Comment