29 September 2011

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Majlis Pimpinan Pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pakatan pembangkang menghormati pendirian PAS dalam hal itu tetapi pada masa yang sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya.

"Kita tak boleh nafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pendirian tetapi kita terikat dengan dasar bersama dan Perlembagaan Persekutuan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pakatan pembangkang di sini Rabu malam.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Isu hudud dibangkitkan Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini yang bercadang untuk melaksanakannya di negeri itu.

Anwar berkata, pakatan pembangkang juga tidak boleh menafikan hak mana-mana pihak untuk mengemukakan pandangan berhubung isu itu.

0 Comments:

Post a Comment