29 September 2011

Fahami Kanun Jenayah Syariah II Kelantan

KUALA LUMPUR, 29 Sept[HD]: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat memahami bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 diluluskan secara demokratik iaitu melalui undi di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan pendapat di kalangan pemimpin DAP dari segi penafsiran undang-undang tersebut iaitu sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Sivil, bukan Mahkamah Syariah.

"Di Kelantan, enakmen tersebut wujud mengikut prosedur di Dewan Undangan Negeri yang mendapat sokongan 39 undi sewaktu dibentang.

"Jadi tak timbul kita melanggar prinsip demokrasi cuma percanggahan pendapat di sini dan DAPmenentang kerana penafsiran yang berbeza...mungkin DAP tak setuju bukan soal hudud tapi soalnya kerana pada penafsiran DAP bahawa sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Syariah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.


Pakatan Rakyat selepas mesyuarat kira-kira tiga jam lewat malam tadi sebulat suara memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 sebelum muafakat dalam Pakatan Rakyat wujud.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat menghormati semangat PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan namun turut tidak menafikan hak DAP dan PKR untuk menyatakan pandangan mereka dalam isu syariah.

Ujar Tuan Ibrahim, soal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah namun Kelantan tetap mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang tersebut.

"Bagi PAS, kita lihat samada bertentangan atau tidak bertentangan (dengan Perlembagaan Persekutuan), itu keputusan pihak berautoriti seperti mahkamah dan sebagainya dan pengakuan ini mengiktiraf undang-undang tersebut dan hak kelantan untuk laksana undang-undang  tersebut.

Bagaimanapun katanya, dalam Buku Jingga, pelaksanaan hudud memang tidak termasuk dalam agendanya.

Sebaliknya yang dipersetujui bersama ialah menghormati sistem demokrasi dalam negara.

"Hudud tidak termasuk dalam perkara yang dipersetujui bersama (dalam Buku Jingga) tapi yang dipersetujui bersama ialah menghormati sistem demokrasi.

"Jadi dalam menghormati sistem demokrasi, cadangan Kelantan untuk laksanakan hudud juga merupakan keputusan yang dibuat secara demokratik iaitu melalui Dewan Undangan Negeri," katanya.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus memberikan penerangan mengenai hudud kepada orang Islam dan bukan Islam agar mereka faham bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

"Pas akan teruskan penerangan dan Menteri Besar Kelantan (Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat) pun telah buat kenyataan bahawa PAS akan teruskan penerangan kepada sesiapa yang kurang jelas dari semasa ke semasa melalui seminar, dialog, wacana ilmiah dan bersikap terbuka terhadap apa yang sulit dalam enakmen hudud ini.

"Sebab kita laksana hudud kepada orang Islam sahaja, orang bukan Islam tidak terlibat dengan enakmen ini dan yang keduanya kita laksanakan dalam konteks Kelantan sahaja," katanya.

0 Comments:

Post a Comment