05 April 2011

GCC Tuduh Teheran sebar hasutan, cetus pertelingkahan penduduk

RIYADH: Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk Arab Saudi mengutuk 'campur tangan terang-terangan' Iran dalam hal ehwal serantau dan berkata Teheran sedang menggugat kestabilan negara mereka.
Menteri Luar GCC yang mengadakan pertemuan di sini kelmarin berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka “amat bimbang berhubung campur tangan berterusan Iran” di rantau itu.
Selain Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait, kumpulan GCC dianggotai Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pertemuan itu, mereka menuduh Iran merancang untuk menjejas keselamatan negara GCC dan menyebarkan hasutan serta mencetuskan pertelingkahan di kalangan penduduk.

Teheran juga ‘melanggar kedaulatan’ negara anggota kumpulan serantau itu.
Mesyuarat GCC itu diadakan selepas jawatankuasa hal ehwal luar parlimen Iran dan keselamatan nasional berkata Khamis lalu “Arab Saudi perlu tahu untuk tidak bermain api di rantau sensitif di Teluk Parsi.”
Namun, Riyadh menyelar apa yang digambarkannya sebagai satu kenyataan “tidak bertanggungjawab” mengandungi “tuduhan palsu dan kesalahan nyata ke atas Pentadbiran Diraja Arab Saudi.”

Kenyataan Iran “menyemarakkan perpecahan,” kata Majlis Perundingan Saudi menurut agensi berita SPA.

Arab Saudi menyertai satu pasukan Teluk yang memasuki Bahrain bulan lalu untuk membantu pihak berkuasa di negara jiran itu menamatkan bantahan sebulan penduduk Syiah yang menuntut perubahan dalam pentadbiran diraja negara pulau itu.

Menteri Luar GCC mengutuk ‘campur tangan Iran dalam hal ehwal dalaman Bahrain sebagai bertentangan dengan konvensyen antarabangsa dan peraturan kejiranan baik.’

Mereka berkata pengerahan pasukan Pertahanan Semenanjung ke Bahrain atas permintaan pihak berkuasanya adalah sah dan sejajar dengan perjanjian pertahanan bersama antara negara GCC.

Menteri Luar GCC juga mengkritik kenyataan ‘tidak bertanggungjawab’ jawatankuasa keselamatan nasional dan hal ehwal luar parlimen Iran yang menggesa pengunduran pasukan Arab Saudi dari Bahrain.

Iran perlu ‘menghentikan dasar permusuhan dan menghormati peraturan kejiranan baik untuk memulihara keselamatan dan kestabilan di rantau ini yang penting untuk seluruh dunia, kata mereka. – AFP

0 Comments:

Post a Comment