19 April 2011


Sumber [harakahdaily]
KUALA LUMPUR, 19 April: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyanggah pandangan penganalisis politik, Prof Abdul Aziz Bari di dalam Malaysian Insider yang mengatakan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada komponen Pakatan Rakyat.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP memutuskan hubungan dengan PAS.
Selain itu, katanya pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.
Tambahnya, ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008.
Malah, katanya jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi  dari 7 kerusi pada 2004.
“Sebagai Presiden keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja. Dan ianya sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah Presiden,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, tuduhan Aziz yang turut mengatakan bahawa Presiden PAS menjadi punca kegagalan PAS memenangi mana-mana kerusi di Sarawak juga amat dangkal.
“Lainlah jika PAS sebelum ini pernah menang di Sarawak dan kemudiannya kalah semua kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini,” katanya lagi.
Katanya, pilihan raya Sarawak 2006 menyaksikan PAS bertanding 1 kerusi tetapi kali ini 5 kerusi dan ini satu petanda bahawa Presiden PAS telah berjaya memainkan peranannya di dalam Majlis Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan ketika proses pembahagian kerusi.
Menurutnya, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Presiden PAS adalah punca kegagalan 16 September.
“Di tadika manakah fakta ini diperolehinya?
“Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai prof atau sekadar mengantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi?” soalnya.
Nampaknya, kata beliau Aziz sengaja mengkambinghitamkan Presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca.
Justeru, DPPWP menasihatkan agar Aziz tidak memalukan golongan ahli akademik yang selama ini bercakap atas fakta dan kajian yang lebih berfakta.
Katanya, jika beliau tiada modal untuk bercakap baik diam sahaja dari terus melalak seperti orang bijak yang kelihatan kurang bijak menggunakan ilmunya.
“DPPWP hari ini cukup berpuashati dan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PAS di atas usaha beliau membangkitkan semula keupayaan PAS setelah melalui zaman kekalahan pada 2004,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment