23 April 2011

Orang kaya patut wujudkan perpustakaan di kediaman

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan golongan berkemampuan di negara ini mewujudkan perpustakaan di kediaman mereka dan mengisinya dengan buku atau karya yang berharga.

Beliau berkata ini adalah amalan di negara barat seperti Amerika Syarikat, yang mana orang kaya di sana mewujudkan perpustakaan yang dipenuhi dengan pelbagai jenis buku lama, yang kemudiannya didermakan kepada perpustakaan selepas meninggal dunia.
"Sepatutnya orang-orang yang kaya di Malaysia ini membina perpustakaan mengandungi buku yang berharga, dan apabila mereka meninggal dermakan buku kepada perpustakaan untuk orang ramai," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Pesta Buku Antarabangsa, di sini hari ini.
Dr Mahathir turut meluangkan masa menandatangani karya beliau ''A Doctor in the House'' yang dibeli pengunjung di pesta yang bermula hari ini itu. Mengulas isu berbeza, Dr Mahathir berkata kerajaan perlu menimbang keperluan masyarakat Cina di negara ini termasuk menyediakan peluang perniagaan yang lebih banyak bagi meraih sokongan mereka. Ini kerana kata Dr Mahathir, sebagai komuniti yang berorientasikan perniagaan, kaum Cina memerlukan peluang yang banyak dan berterusan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa masyarakat Cina tidak pernah menyokong Barisan Nasional (BN).
"Sebelum ini, komuniti Cina memberi sokongan teguh kepada BN seperti ketika pilihan raya umum 1999 yang membantu parti memerintah memperoleh majoriti dua pertiga," katanya. - BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment