24 April 2011

Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM) yang dipimpin pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, merancang untuk meletakkan 30 calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum di Malaysia.

Presiden MCLM Haris Ibrahim berkata calon-calon itu akan bertanding kerusi parlimen sebagai calon Bebas kerana MCLM bukan sebuah parti politik.

"Kita telah melantik agensi pengurusan risiko (penyiasat persendirian) untuk meneliti latar belakang termasuk biodata, harta dan status kewangan dan juga memantau bakal calon," katanya dalam dialog MCLM dengan rakyat Malaysia yang menetap di Bangkok malam tadi.

Beliau berkata MCLM yang ditubuhkan pada 2004 belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan tetapi mereka telah dibenarkan bergiat secara sah di London, Oktober tahun lepas.

Haris berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum itu kerana beliau akan berkempen untuk calon-calonnya.

Raja Petra, pengasas dan editor blog Malaysia Today yang juga Pengerusi MCLM berkata: "Kami mahu menukar kerajaan tetapi bukan untuk menjadi kerajaan. Kami mahu menjadi sebahagian daripada pergerakan untuk menukar kerajaan"

Beliau berkata MCLM sedang dalam proses untuk menubuhkan cawangannya di bandar-bandar utama di dunia. Thailand merupakan cawangan ketiga selepas Australia dan New Zealand.

Raja Petra berkata pergerakan itu mengenengahkan agenda Malaysia dan bukan berdasarkan agenda perkauman.

"Sebagai contoh, MCLM boleh menggerakkan demonstrasi anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di seluruh bandar utama di dunia serentak dengan Kuala Lumpur pada masa depan," kata Haris.

- Bernama

0 Comments:

Post a Comment