11 April 2011

RM 13,000 Patin Tak Berkat


Mafhum hadis Rasulullah SAW : Tiga sebab ditarik keberkatan dari sesuatu hidangan: 1-Makanan yang panas. 2- Makanan yang Mahal. 3-Makanan yang tidak dibaca Bismillah.[Saya sedang mencari sumber hadis ini..Maaf ]

Pelanggan Tergamam Hidangan Patin RM13,000
TEMERLOH, 11 April (Bernama) -- Sekumpulan 50 pelanggan yang makan hidangan masakan kampung termasuk ikan patin di sebuah restoran di sini terkejut apabila mereka dikenakan bayaran RM13,000.

Menurut seorang daripada kumpulan itu yang enggan namanya disiarkan, beliau membawa rakan-rakannya menikmati makan tengah hari di restoran berkenaan baru-baru ini yang menyediakan ikan-ikan sungai, ulaman dan sayur-sayuran kampung.

"Selesai makan, pemilik restoran berkenan mengenakan bil berjumlah RM13,000 dan saya terpaksa membayar," katanya kepada Bernama Isnin.

Beliau berkata, jika dikira, setiap seorang daripada 50 orang itu, dikenakan bayaran RM260.

"Ini melebihi makan di restoran enam bintang di Kuala Lumpur," katanya.

Kejadian itu kini menjadi bualan peniaga serta penduduk di daerah Temerloh.

Bernama difahamkan ikan patin buah atau patin muncung dijual pada harga antara RM90 dan RM120 sekilogram, dan apabila dimasak, ia dijual dengan harga RM25 hingga RM35 seketul mengikut saiznya.

Ikan patin sangkar pula berharga RM15 sekilogram, dan jika dimasak, dijual antara RM5 dan RM7 seketul.

Ikan patin sungai berwarna kelabu manakala patin sangkar berwarna cerah dan putih di bahagian sisik atas dan bawahnya pula berwarna kemerahan serta banyak lemak.

Ketua Pegawai Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Temerloh, Othman Din, meminta restoran dan kedai makan di Temerloh supaya mempamerkan tanda harga atau menyediakan harga pada menu jualan bagi kemudahan pelanggan dan orang ramai.

Mereka yang tidak mempamerkan tanda harga boleh dikenakan denda sehingga RM15,000 atau penjara dua tahun atau keduanya sekali, katanya.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment