22 Jun 2011

KOTA BHARU, 22 Jun: [Sumber] Setelah lebih 21 tahun PAS mentadbir Kelantan, ia amat sesuai jika dijadikan sebagai sebuah ‘makmal Islam’, kata Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ini, katanya kerana pentadbiran yang dilaksanakan adalah berasaskan Al-Quran, hadis, ijmak dan qias.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri himpunan penjawat awam Kompleks Kerajaan Darulnaim, pagi ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub, Exco-exco kerajaan negeri dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias.
Nik Aziz berkata, kakitangan kerajaan negeri seharusnya mengikut sebaik mungkin dasar kerajaan yang dikeluarkan agar ia dapat memberi keselesaan kepada rakyat negeri ini.
“Tuan-tuan adalah merupakan kakitangan kepada kerajaan yang berasaskan Islam, oleh itu kita semua seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya kepada apa yang kita laksanakan di pejabat demi kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.
Tuan Guru juga menyentuh tentang kelebihan bulan Rejab yang boleh dikatakan semua umat Islam mengetahui peristiwa di akhirat melalui peristiwa Israk Mikraj.
“Bulan ini amat wajar umat Islam membicarakan hal kelebihan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. ke langit dalam peristiwa Israk Mikraj.
“Kita diberitahu dengan jelas perkembangan di akhirat, oleh itu kita semua seharusnya mengambil berat hal ini terutamanya dalam melaksanakan tugas yang diberikan kerana ia tetap mendapat balasan di akhirat nanti,” katanya lagi.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias yang akan bersara wajib 26 Jun ini telah menyampaikan amanat akhir sebagai ketua pentadbiran negeri dengan menyampaikan nasihat agar semua kakitangan kerajaan negeri akur akan dasar yang diputuskan oleh kerajaan dan menjalankan dengan sebaik mungkin.
“Tuan-tuan, walaupun kita akan bertemu dengan hari persaraan kita sebagai kakitangan kerajaan namun ia tidak seharusnya terhenti di situ sahaja, malah tenaga kita masih lagi boleh disumbangkan kepada masyarakat dalam pelbagai aktiviti kebajikan,” kata beliau.
Beliau yang berkhidmat dengan kerajaan selama 33 tahun akan digantikan oleh Dr Zainuddin Ibrahim yang akan menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang baru.
Mohd Aiseri juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang selama ini telah membimbing beliau dalam mentadbir negeri secara kehendak Islam.
 

0 Comments:

Post a Comment