13 Jun 2011

PERKASA vs BERSIH

KUALA LUMPUR,13 Jun – Sumber [MI]Pengerusi Jawatankuasa Mobilisasi PAS, Mohamad Sabu menegaskan PAS tidak akan berganjak bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk mengadakan himpunan besar-besaran di ibu negara bulan depan.
Beliau yang juga timbalan presiden PAS (gambar) berkata meskipun kumpulan pendesak Melayu, Perkasa memberi amaran untuk menghalang, namun himpunan tersebut tetap akan diteruskan.
“Kita akan buat terus, dia (Perkasa) nak buat himpunan itu hak dia,” kata beliau dipetik Harakah Daily hari ini.
Terdahulu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali ketika ditemui wartawan di bangunan Parlimen memberitahu pihaknya akan melawan habis-habisan Himpunan Bersih 2.0 itu.
Sambil menyifatkan himpunan itu sebagai “mengacau”, Ibrahim turut memberi amaran akan membuat himpunan serupa bagi menghalang himpunan Bersih 2.0 tersebut walaupun terpaksa berlaku pertembungan.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga mendakwa himpunan Bersih itu akan menimbulkan huru hara apabila ada pesertanya membaling batu dan membakar kereta.
Membidas kenyataan Ibrahim itu, Mohamad berkata, bukan Perkasa yang menentukan himpunan tersebut huru-hara atau tidak.
“Itu kerja polis la nak tentukan aman atau tidak. Datuk Ambiga (Pengerusi Bersih), sudah beri jaminan kita akan buat himpunan secara aman,” katanya.
Beliau turut memberi contoh himpunan Bersih 2007 menyaksikan himpunan berlangsung secara aman.
“Perkasa kalau nak buat juga himpunan, buat hari lain la, kita dah cadang tarikh ni lebih awal lagi,” katanya.
Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Bersih 2.0 Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan Perkasa memberi amaran mahu bertembung dengan peserta himpunan Bersih sebagai tidak wajar.
“Kita tak pernah halang Perkasa nak berhimpun. Tapi berhimpun lah untuk memperjuang hak sendiri, bukan sebab nak halang kita semata-mata.
“Ini sudah isytihar perang secara fizikal. Bukan begini caranya, ini cara pengganas,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment