10 Jun 2011


KOTA BAHARU, 9 Jun (Bernama) -- Konsep negara berkebajikan dibawa pakatan pembangkang adalah selari dengan kehendak Islam, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu berkata konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.

Menurutnya kedua-dua perkara itu membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial. Berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat, katanya.

"Islam ini dasar manakala berkebajikan adalah program Islam. Kebajikan bukan beri barang," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar di sini Khamis.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pihak kononnya PAS sanggup meninggalkan perjuangan asal parti untuk memenangi pilihan raya umum dan tindakan itu menurut mereka, menyebabkan sokongan terhadap PAS merosot.

Ucapan dasar Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu minggu lalu langsung tidak menyentuh mengenai penubuhan negara Islam dan pembentukan undang-undang hudud seperti mana sebelumnya.

Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment