18 Jun 2011

KUALA LUMPUR, 18 Jun [Themalaysianinsider]
 Apa guna PAS tanpa nama Islam! Demikian tegas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika menjawab cabaran sesetengah pihak supaya menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu.
Menteri Besar Kelantan (gambar) itu berkata, PAS diwujudkan untuk memperjuangkan agama Islam dan adalah suatu perkara mustahil untuk menggugurkan nama dan asas perjuangan yang dipegangnya selama ini.
“Mana boleh gugur perkataan Islam, kalau gugur Islam tiada parti PAS, Melayu lebih Melayu kerana Islam, tetapi Umno tolak Islam, khianat kepada agama dan bangsa sendiri,” katanya dipetik Sinar Harian Online hari ini.
Sebelum ini, pelbagai pihak mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain.
Antaranya, ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang menjelaskan ia perlu dilakukan kerana PAS sendiri yang memberi alasan ramai orang bukan Islam keliru dan takut apabila disebut negara Islam sehingga menyebabkan parti itu menukar dasarnya kepada negara berkebajikan.
Isu itu timbul apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Ke-57 parti itu, dua minggu lalu, mengumumkan parti itu akan menumpukan perhatian kepada konsep membangun negara berkebajikan, sekali gus menimbulkan tanggapan parti itu menukar dasarnya.
Dalam pada itu, Nik Aziz menggunakan kesempatan pada kuliah Jumaat kelmarin, untuk menerangkan isu negara berkebajikan yang diperjuangkannya kini dan dilihat sebagai salah satu usaha bagi mengelak ahlinya keliru dengan slogan tersebut.
Menurutnya, konsep negara berkebajikan bukan bermakna PAS mengubah dasar perjuangannya, sebaliknya ia adalah satu daripada program parti yang juga selaras dengan perjuangan ajaran Islam.
Beliau berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu gusar dengan slogan baru itu walaupun mendakwa mempunyai persamaan, tetapi inti pati yang dibawa PAS cukup berbeza.
“Buat apa nak takut, macam orang jual nasi kerabu, kalau nasi kerabu kamu lebih sedap orang akan beli, tidak perlu takut, tetapi kalau takut itu bermakna apa yang kamu jual itu tidak bernilai,” katanya.

0 Comments:

Post a Comment