27 Jun 2011

Sumber[MK]Sasterawan negara Datuk A Samad Said berkata, siasatan polis yang dijalankan ke atasnya hari ini menunjukkan puisi telahpun menjadi "satu senjata" dan bukan lagi satu hiburan semata-mata.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan rasa sedih ke atas tindakan polis yang menjalankan siasatan ke atasnya di bawah Akta Hasutan, sedangkan puisinya itu mengandung niat "murni."
"(Sasterawan) yang ingin rakam keadaan yang buruk (disiasat) dengan penuh prasangka, itu menyedihkan saya.
"Saya kata kita perlu mempersuci demokrasi bukan untuk keruhkan," katanya yang turut menjelaskan bahawa puisi itu bertujuan untuk memperbaiki sistem sedia ada.
"Saya ingin lahirkan sesuatu yang murni, bukan menghasut," katanya lagi ketika mengulas siasatan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan itu.
Beliau turut disiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis berhubung pengucapan puisinya pada majlis pelancaran BERSIH 2.0 pada 19 Jun lalu.
Tanpa menunjukkan rasa gentar, A Samad turut menepis pandangan bahawa tindakan pihak polis itu akan terus menekan golongan karyawan daripada menyatakan pandangan mereka ke atas perkembangan semasa.
"Tindakan ini sepatutnya menaikkan lagi semangat (golongan sasterawan)," katanya lagi ketika ditemui selepas disiasat lebih sejam hari ini di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi.
Siasatan hari ini merupakan tindakan kedua ke atas A Samad selepas tindakan sama dijalankan ke atasnya pada Mac 2009 berhubung dasar pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.

0 Comments:

Post a Comment