24 Mac 2011

 Ameerul Ashraf peroleh 11A+


AMEERUL Ashraf menerima ciuman daripada ibu bapanya, Harunarashid Mohd. Yunos dan Raha Abu Hassan di SBP Integrasi Selandar, Melaka, semalam.


MELAKA 23 Mac - Selepas cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini, Ameerul Ashraf Harunarashid terus menempa kejayaan apabila memperoleh 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Selandar dekat sini, mencipta sejarah tersendiri apabila muncul salah seorang daripada dua pelajar negeri ini yang mencapai keputusan gred cemerlang A+ dalam semua mata pelajaran SPM tahun lalu.
Lebih manis, anak sulung pasangan guru itu muncul satu-satunya pelajar Melayu daripada 21 pelajar yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran negeri, Juliah Leman mencapai gred cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.
''Saya memang sudah menjangka mencapai keputusan yang amat membanggakan ini, cuma risau dengan mata pelajaran Sejarah.
''Tetapi apabila saya melihat slip keputusan dan memperolehi 11A+, saya seperti tidak percaya. Ini adalah pencapaian terbaik saya," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil penghargaan daripada Pengarah Pelajaran Negeri di jabatan itu di Bukit Baru, di sini hari ini.
Berkongsi rahsia kejayaannya, Ameerul Ashraf berkata, sepanjang belajar, dia tidak pernah hilang fokus dan sentiasa memastikan setiap kerja kursus yang diarahkan berjaya disiapkan.
''Saya juga tidak pernah mengabaikan solat lima waktu malah kerap membaca surah Yasin," katanya.
Selepas ini, dia bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan bagi mencapai cita-citanya untuk menjadi doktor gigi.
Sementara itu, bapanya, Harunarashid Mohd. Yunos, 45, yang merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di Sekolah Vokasional Melaka Tengah, bersyukur dengan kejayaan yang diperoleh anaknya.
''Sejak UPSR dan PMR, dia muncul pelajar terbaik sekolah dan apabila peperiksaan SPM, saya yakin dia mampu melakukan yang terbaik," ujarnya.
Ibunya, Raha Abu Hassan, 42, guru di Sekolah Menengah Teknik Melaka berharap pencapaian Ameerul Ashraf akan menjadi pendorong kepada seorang lagi anaknya, Aida Najwa yang akan menduduki SPM tahun ini.
''Ibu mana yang tidak gembira dengan pencapaian cemerlang yang diperoleh anak dalam peperiksaan seperti ini,'' ujarnya.

Wong Yujing peroleh A+ bagi Tasawwur Islam

KUALA TERENGGANU 23 Mac - Minat untuk mendalami Islam sebagai agama rasmi negara mendorong kejayaan Wong Yujing mendapat A+ bagi subjek Tasawwur Islam sekali gus membantunya memperoleh 10A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman itu berkata, kejayaannya turut didorong sikapnya yang sentiasa berinteraksi dengan pelajar Islam ketika di dalam kelas sejak di tingkatan empat lagi.
Malah, kegigihannya belajar sendiri menerusi buku teks turut membantunya mencapai keputusan cemerlang itu.
"Kejayaan saya ini terutama dalam subjek Tasawwur Islam banyak dibantu oleh guru dan rakan sekelas," katanya ketika ditemui pada majlis Pengumuman Keputusan SPM 2010 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Jiring di sini hari ini.
Yujing, anak sulung kepada pasangan pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu merupakan antara 17 pelajar cemerlang SPM 2010 yang memperoleh A+ dalam semua subjek yang diambil.
Dia bercita-cita menjadi seorang ahli perniagaan dan bercadang melanjutkan pengajian ke United Kingdom dalam bidang kejuruteraan kimia.[utusan]

0 Comments:

Post a Comment