14 Mac 2011


BEBERAPA anggota perubatan mengangkat seorang lelaki dipercayai terkena radiasi di bandar Nihonmatsu, Fukushima semalam.


TOKYO - Pihak berkuasa Jepun melaporkan, kadar radiasi didapati telah melepasi had yang dibenarkan di loji Fukushima Daiichi 1, 240 kilometer dari utara Tokyo kesan daripada gempa bumi yang berlaku pada Jumaat lalu.
Menurut beberapa pegawai, penemuan tersebut sekali gus meningkatkan kebimbangan akan berlaku kebocoran radiasi dan kemungkinan berlaku kecairan teras loji nuklear.
Loji itu sebelum ini meletup menyebabkan asap menjulang tinggi ke udara sehingga mengakibatkan 45,000 penduduk dipindahkan kerana takut terkena ancaman radiasi.
Agensi Nuklear Jepun melaporkan bahawa bilangan orang yang terdedah akibat radiasi itu mungkin meningkat kepada 160 orang.
Sejumlah kakitangan perubatan melakukan ujian imbasan terhadap penduduk yang tinggal berhampiran dengan loji berkenaan bagi mengesan jika mereka terkena radiasi.
Para pekerja itu melakukan pakaian kalis radiasi semasa melakukan pemeriksaan ke atas penduduk.
Loji tersebut terletak berdekatan dengan pusat gempa yang berlaku kira-kira 130 kilometer dari Sendai pada kedalaman 24 kilometer dalam laut.
Arah tiupan angin kini menjadi tumpuan ahli-ahli meteorologi dan pihak berkuasa nuklear Jepun.
Menurut para pegawai meteorologi Jepun, arah angin itu kini bergerak ke laut selepas ia didapati bergerak ke arah kawasan penduduk pada Sabtu lalu.
Penentuan arah angin itu penting bagi mengetahui kemungkinan berlakunya kerosakan terhadap alam sekitar akibat radiasi yang bocor dari loji berkenaan.
Sementara itu, kekuatan gempa bumi itu dinaikkan menjadi 9.0 pada skala Richter berbanding 8.9 pada skala Richter yang diumumkan oleh Kajian Geologi Amerika Syarikat pada Jumaat lalu.
Agensi Meteorologi Jepun mengumumkan peningkatan kekuatan itu selepas ia menyatakan bahawa kekuatan gempa tersebut ialah 8.9 pada skala Richter. Gempa bumi itu mencetuskan tsunami setinggi 10 meter.
Gempa bumi itu telah menyebabkan lebih 10,000 dikhuatiri orang terbunuh yang merupakan krisis kemanusiaan yang paling besar pernah berlaku di Jepun sejak Perang Dunia Kedua yang berlaku pada 1945. - Agensi

0 Comments:

Post a Comment