31 Julai 2012

Penduduk Gaza Lalui Ramadhan Penuh Getir

GAZA CITY, [Sumber]- Rakyat Palestin di Semenanjung Gaza menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak dalam suasana penuh mencabar berikutan keadaan cuaca yang panas membahang serta gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku.
Kebanyakan mereka berbuka puasa dengan diterangi cahaya lilin dan bagi yang lebih bernasib baik, mereka mendapat bekalan elektrik daripada generator mudah alih.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila pada waktu berbuka dan bersahur, bunyi jentera ini memecah keheningan di hampir semua pekan dan khemah di Gaza.
Rakyat Palestin di sini melalui sepertiga daripada kehidupan seharian mereka tanpa bekalan elektrik sejak
Israel mengenakan sekatan di Semenanjung Gaza pada 2006 berikutan kemenangan Hamas dalam pilihan raya parlimen di wilayah itu.
Pekerja binaan Abu Khaled Abu Arab berkata keadaan di khemah kediamannya sungguh menyeksakan dan memang tidak sesuai untuk dihuni manusia.
Keadaan sesak di khemah pelarian Shatii yang menempatkan 65,000 penduduk tidak membolehkan lelaki ini dan lima anaknya menikmati keselesaan ketika berbuka puasa.
Mereka terpaksa makan dengan sepantas mungkin dan keluar untuk menghirup udara segar kerana keadaan di dalam rumah mereka amat panas.
"Kami tak boleh guna kipas angin kerana tenaga elektrik dah dipotong. Kehidupan di sini amat perit. Semasa berbuka puasa, kami terpaksa mengelap peluh, bukannya menikmati hidangan," kata lelaki berusia 43 tahun ini.

Seperti kebanyakan pelarian lain, Abu Khaled tidak dapat menghidupkan generatornya kerana tidak mempunyai cukup wang untuk membeli bahan api.

"Bahan api amat mahal sekarang dan saya perlu berjimat untuk membiayai keperluan asas keluarga saya," kata Abu Mohammed untuk merujuk kepada krisis bekalan bahan api yang melanda kawasaan kediaman sesak itu.

Harga bahan api naik sekali ganda daripada tahun lepas dan krisis tercetus apabila pihak berkuasa Mesir mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah bahan api yang dibawa ke Gaza melalui terowong penyeludupan di bawah kawasan sempadan antara Rafah dan Mesir.

Suhu yang panas membara di dalam rumah di kawasan sesak itu mendorong beratus ribu penduduknya keluar berkumpul di satu kawasan pantai di pinggir laut Mediterranean untuk menikmati suasana lebih selesa, dengan sesetengah mereka mendirikan khemah di situ.

Bagi penduduk Gaza, pantai itu merupakan satu-satunya tempat selesa di kawasan mereka dalam menjalani kehidupan penuh kesengsaraan akibat pendudukan Israel.

Apabila senja menjelang tiba, Sayed Murad mula menyediakan makanan untuk berbuka puasa bersama keluarganya.

Walaupun rumahnya terputus daripada bekalan elektrik, tetapi lelaki ini masih berupaya menyediakan makanan berbuka puasa untuk keluarganya. Kegembiraan terpancar dari wajah anak-anaknya ketika mereka menjamah makanan di tepi pantai itu sambil mengimpikan kehidupan yang lebih baik tidak lama lagi.

"Berbuka puasa di tepi pantai ini lebih selesa daripada berbuka puasa di dalam rumah. Di rumah, keadaan sungguh menyeksakan kerana tidak ada tenaga elektrik, tidak ada lampu dan tidak ada kipas angin," kata Ahmed, 12, anak lelaki sulung Sayed.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment