07 Julai 2012

SHAH ALAM, 7 Julai[TMI] — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan perubahan di dalam negara tidak akan berlaku hanya jika disebabkan oleh demonstrasi jalanan.
Najib turut menegaskan, demonstrasi juga tidak akan memantapkan demokrasi, sebaliknya bakal memusnahkan negara.
"Pihak-pihak tertentu cuba untuk memusnahkan negara melalui demonstrasi jalanan. Perubahan tidak akan berlaku dengan demonstrasi jalanan.
"Demonstrasi juga tidak akan memantapkan demokrasi. Itu 'democrazy'," tegas Najib (gambar) sewaktu memberi ucapan perasmian Konvensyen Pemikir Muda Malaysia (PPM) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di sini.
Jelas Najib, peserta demonstrasi jalanan itu juga tidak ubah seperti "kera kena belacan", malah beliau turut
menggesa mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan untuk menyuarakan pendapat mereka melalui saluran yang betul.
"'Democrazy' ini tidak menguntungkan negara. Kalau tidak setuju, suarakan dengan baik, beradab dan sopan, supaya kerajaan boleh dengar," jelas perdana menteri ini di hadapan 2,000 peserta konvensyen tersebut.
Justeru itu, beliau berkata, bukti kerajaan Malaysia berada di landasan yang betul sudah ditunjukkan melalui pembangunan yang dikecapi negara pada masa kini.
"Jangan fikir kita kerajaan tidak betul. Jika tidak,  Malaysia tidak akan membangun seperti ini.
"Kita ada 'road map' yang lengkap dalam mencapai matlamat negara maju, malah negara maju sendiri tidak mempunyai road map mereka seperti kita. Ini membuktikan kita mampu memerintah," tegasnya lagi.
Konvensyen sehari anjuran PPM itu turut menghimpunkan generasi muda daripada pelbagai bidang profession termasuk lebih 22 profession yang meliputi mereka yang berkhidmat dalam bidang pendidikan, keselamatan, petani, wartawan, dan banyak lagi.
Dalam majlis tersebut, Najib turut diberi pengiktirafan menerima Anugerah Tokoh Pemikir Terbilang oleh PPM atas jasa beliau dalam merencana Program Transformasi Kerajaan (GTP).

0 Comments:

Post a Comment