23 Julai 2012

Mufti setuju atlit Olimpik tangguh puasa

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani dan bekas mufti Perlis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya atlit Muslim yang mewakili Malaysia di temasya Sukan Olimpik, menangguhkan ibadah puasa.
"Setuju (dengan Harussani dan Dr Asri) sebab mereka (atlit) musafir dan mereka berhak ambil rukhsah dan keringanan yg diperkenankan oleh syarak," kata Dr Juanda melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, tokoh agama itu berkata ia terserah kepada atlit tersebut sama ada berpuasa ataupun tidak sekalipun ia merupakan "keluasan agama".
Dr Juanda mengulas pandangan Harussani dan Dr Asri yang dilaporkan berkata, atlit Muslim boleh menangguhkan puasa bagi mengelakkan daripada dituduh tidak beri kerjasama, diboikot atau boleh menjejaskan peluang kemenangan.


Malah Dr Asri yang juga pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia (USM) dilaporkan The New Straits Times sebagai berkata, atlit boleh berbuat demikian kerana mereka bermusafir.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Persatuan Ulama Malaysia (PUM) yang menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) supaya bersidang bagi memutuskan pandangan mereka berhubung perkara itu.

Setiausaha PUM Dr Mohd Roslan Mohd Nor kepada dihubungi Malaysiakini petang ini berkata pandangan yang dikemukakan itu bukan pandangan rasmi kerajaan.
"Umat Islam memerlukan satu panduan yang sama. Kita menghormati padangan Tan Sri Harussani dan Dr Asri. Tetapi pandangan mereka tidak mewakili satu badan yang berpusat dari kerajaan.

"Itu pandangan peribadi mereka," katanya yang menambah PUM telah berbincang mengenai perkara itu sebelum ini.
Bagaimanapun masyarakat Islam sangat memerlukan keputusan majlis itu dan PUM mahu diselaraskan di peringkat kebangsaan, kata Dr Mohd Roslan lagi.[MK]

0 Comments:

Post a Comment