22 Februari 2011

 video 1
video 2
video 3
video 4

Sarjana Islam Diharap Dapat Kemuka Model Terbaik Negara Islam
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap sarjana-sarjana politik Islam dapat mengemukakan model terbaik sebuah negara Islam yang demokratik, stabil dan makmur.

Beliau berkata model seumpamanya perlu berikutan munculnya pelbagai cabaran politik yang dihadapi baik di negara ini mahupun di seluruh dunia Islam termasuk pergolakan politik di Tunisia, Mesir dan di negara-negara Timur Tengah mutakhir ini.

"Umat Islam diajukan dengan seribu satu persoalan baru mengenai rupa bentuk sistem politik dan kenegaraan Islam serta hubungannya dengan demokrasi dan hak asasi manusia," katanya ketika berucap di majlis Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin 2010 di sini, hari Isnin.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang, Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen, Nor Zanah Jamari dan Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata banyak negara Islam hari ini yang bersifat majmuk dari aspek budaya, agama, bahasa dan etnik, maka para sarjana politik dan jurispruden Islam itu diperlukan untuk mengemukakan jawapan kepada persoalan-persoalan baru dan mungkin tidak pernah dibahaskan secara mendalam dalam karya-karya klasik politik Islam sebelum ini.

Muhyiddin berkata sudah sampai masanya bagi para sarjana Islam dalam pelbagai disiplin ilmu di universiti-universiti tempatan mengadakan kolaborasi untuk mengkaji secara mendalam model politik Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang majmuk dengan masyarakat yang berbilang bangsa.

Katanya sebarang penemuan kepada persoalan-persoalan yang dikaji itu akan menjadi faktor kritikal kepada pencapaian Malaysia untuk bertahan sebagai sebuah negara Islam yang majmuk dan demokratik.

"Formula inilah yang perlu kita pertahankan," katanya.

Muhyiddin kemudian menyampaikan anugerah Tesis Dr Falsafah Terbaik 2010 kepada Dr Munif Zarirruddin Fikri Nordin dari Universiti Malaya yang mempertandingkan tesis bertajuk "Bahasa kepimpinan Rasulullah S.A.W : Analisis Wacana Khutbah Ghazawat Al-Rasul".

Munif membawa pulang wang tunai RM15,000, pingat emas, trofi dan sijil penyertaan.

Peserta dari Universiti Sains Malaysia Radieah Mohd Nor pula merangkul anugerah Tesis Sarjana Terbaik 2010 dengan tajuk "Prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam dalam Mukadimah Ibn Khaldun", melayakkan beliau untuk membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment