16 Februari 2011


Shah Rukh Khan Jalani Penggambaran 'Don 2' Di Sungai Udang, Melaka
MELAKA, 15 Feb (Bernama) -- "Sebelum ini saya telah berjanji untuk kembali ke sini dan jalani penggambaran filem dan sekarang saya di sini," kata artis sensasi Bollywood Shah Rukh Khan.

Dianugerahi gelaran 'Datuk' oleh kerajaan negeri Melaka selepas kunjungan terakhir pada Disember 2008, Datuk Shah kini berada di Melaka untuk menjalani penggambaran filem barunya 'Don 2', susulan filem 'Don: The Chase Begins' yang dihasilkan pada 2006.

"Kami memulakan penggambaran beberapa hari yang lepas dan akan berada di sini antara dua dan tiga hari untuk penggambaran bahagian awal filem ini," katanya kepada pemberita di Sungai Udang di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, isterinya Datin Seri Asmah Abdul Rahman dan dua orang produser filem itu, Ritesh Sidhwani dan Farhan Akhtar.

Filem Don yang diarahkan oleh Farhan masih mengekalkan sentuhannya untuk Don 2, yang dijangka dipasarkan di 32 negara pada Disember ini.

Khan berkata filem baru itu lebih licik dan menarik dari segi teknikal berbanding filem pertama.

"Ia adalah filem aksi ala 'James Bond' atau genre 'Bourne Identity' yang mana lebih diminati oleh golongan lelaki berbanding wanita," kata Khan yang mengenakan kemeja-T putih dan berseluar jingga terang yang tampil dengan gaya ikat rambut ala ekor kuda untuk sesuaikan wataknya dalam filem itu.

Khan, 45, yang kelihatan lebih kurus sempat berseloroh, menyatakan beliau rindukan Priyanka Chopra, heroin filem itu yang tidak dapat hadir pada sidang media berkenaan kerana terpaksa pulang ke India untuk promosi filem barunya.

"Beliau (Priyanka) akan kembali ke sini di mana filem itu turut dibintangi Lara Dutta yang akan menyertai kami untuk babak berikutnya dalam beberapa hari lagi," kata Khan.

Katanya peranan beliau dalam filem itu sama seperti filem pertama, melakonkan watak jahat, mengenakan orang dan selesaikan tugasannya.

"Sama seperti karektor saya yang sebenar," katanya sambil berseloroh.

Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi dipilih sebagai lokasi untuk penggambaran filem ini yang turut disertai 140 kru filem dan ia akan berakhir di Berlin, Jerman.

-- BERNAMA
(Wajib tonton )

0 Comments:

Post a Comment