05 Disember 2011


Nik Aziz Mahu Bertanding Pilihan Raya Akan Datang
KOTA BAHARU, 5 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang. Nik Abdul Aziz, 80, berkata tidak ada sebab untuk beliau berundur seperti desakan beberapa perwakilan semasa Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.
"InsyaAllah saya akan bertanding lawan Umno. Saya tak kisahpun orang sebut nama saya pada perhimpunan itu," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.


Beliau menjadi Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya umum 1990. Pada pilihan raya umum 2008, beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Chempaka mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk Dr Nik Mohd Zain Omar dengan majoriti 4,249 undi.

Sementara itu Nik Abdul Aziz enggan menjawab kenyataan seorang penceramah PAS menyamakannya sebagai nabi.

Menurut Menteri Besar itu beliau tidak dapat memberi jawapan kerana tidak tahu "hujung pangkal" perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, jika ada pihak yang menuduh penceramah itu sebagai kufur kerana menyamakan beliau sebagai nabi, umat Islam yang menolak agama Islam juga sebenarnya kufur.

"Cuma satu saya nak jawab kalau orang samakan saya sebagai nabi itu adalah kufur," kata beliau.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment