18 Disember 2011

KUALA LUMPUR, 18 Dis[TMI] — Bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa yang dikaitkan dengan desas-desus akan digugurkan sebagai calon pilihan raya umum ke-13 dan kemungkinan keluar PAS menegaskan, beliau masih percaya dan setia dengan parti Islam itu.

“Kepercayaan dan kesetiaan saya kukuh terhadap PAS,” kata beliau dalam temu bual dengan Berita Minggu disiarkan hari ini.
Menjawab soalan sama ada akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-13, Ahli Palimen Bachok ini berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada secara peribadi mahupun “diarah pimpinan parti.”
Kata Nasharudin, beliau juga tidak memikirkan dengan serius hal tersebut sebab ada banyak perkara yang perlu dibereskan.
“Saya balik kawasan di Bachok dan uruskan masalah rakyat macam biasa. Saya akan tentukan bertanding atau tidak apabila tiba masa,” katanya lagi.
Nasharudin (gambar) bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Hasan Ali disebut-sebut akan digugurkan daripada mempertahankan kerusi masing-masing.

Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali menganggap Hasan dan Nasharudin sudah terperangkap dalam agenda Umno untuk melemahkan PAS.
Mustafa  berkata, Hasan yang merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor dan Nasaharudin bertindak tidak wajar sebagai pimpinan parti.
Nasharudin dalam kenyataan kepada Berita Harian minggu lalu ada menyebut beliau berasa pelik dengan politik semasa PAS.
Mustafa juga berkata Nasharudin tidak pernah datang ke mesyuarat PAS sejak muktamar lalu walaupun dilantik sebagai ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.
Hasan pula hanya sesekali sahaja datang ke mesyuarat PAS Pusat tetapi tidak pernah menghadiri mesyuarat PAS negeri selepas dilantik semula sebagai ahli perhubungan.
Dalam temu bual terbaru ini, Nasharudin menambah, PAS sebagai organisasi Islam telah dan harus konsisten dengan wajah Islam.
Katanya, jangan sampai pegangan berpandukan al-Quran dan hadis yang menjadi tunjang dipinggirkan kerana terlalu sibuk layan matlamat dan permasalahan.
“Politik banyak diwarnai persepsi dan ini perlu ditangani dengan teliti.
“Tanggapan di luar ialah PAS nampak longgar dalam beberapa perkara, ini bahaya,” katanya yang tewas dalam pemilihan parti Jun lalu.
Kata Nasharudin, PAS mesti kembali berpegang kepada prinsip asal dan jangan semata-mata hendak raikan suasana politik.
“Kita berpolitik lebih daripada berpegang kepada panduan syarak.
“Saya tak nak sebut mana-mana pihak atau individu secara spesifik tetapi jika kita sebut pada prinsip, keadaannya harus begitu,” kata beliau.
Menurut beliau, Islam agama fleksibel dalam banyak aspek termasuk politik, tetapi jangan sampai “kita menggadai apa yang perlu diberi keutamaan.”
“Kepentingan Islam dan umatnya harus berada di tangga teratas tanpa menafikan hak lain kerana kita dituntut berlaku adil,” katanya lagi.

0 Comments:

Post a Comment