26 Disember 2011

KUALA LUMPUR, 26 Dis [TMI]- Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari mempertahankan seorang paderi yang didakwa mempersoalkan  Artikel 153 Perlembagaan dalam rumah ibadat sambil menambah tiada sebarang unsur hasutan dalam ucapan sempena sambutan perayaan Krismas semalam.

Selain itu, menurut Abdul Aziz (gambar), tiada pihak termasuk Petubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) perlu mengeluarkan sebarang bantahan atau cabaran terhadap paderi itu Rev. Dr Eu Hong Eng, seorang pemimpin tertinggi Gereja National Evangelical Christian Fellowship (NECF).
Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya matang dalam mengemukakan hujah dan bukan membangkitkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kaum.

"Jadi ia agak tidak betul untuk Perkasa mengeluarkan cabaran dan membangkitkan peristiwa 13 Mei 1969. Ini kerana paderi itu tidak mempersoalkan dasar atau apa-apa yang berkaitan dengan Artikel 153, beliau hanya mengeluarkan pendapat tentang bagaimana artikel itu dilaksanakan. Ia boleh diterima, tiada unsur hasutan tentang perkara itu.

"Semasa kita memasuki kemerdekaan negara yang ke-55, kita seharusnya matang untuk berhujah dan mengemukakan pandangan-pandangan, malah segala apa yang berlaku dan isu seperti ini memberi kesan kepada negara. Kita mesti ingat bahawa dasar-dasar dan peruntukan di bawah Artikel 153 dibiayai , sesuatu yang memberikan kita semua hak untuk memberikan komen tentang apa yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Semalam Perkasa melalui Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali menyelar tindakan Eu yang mempersoalkan Perlembagaan 153 dalam rumah ibadat sempena sambutan perayaan Krismas.

Syed Hassan berkata perkara sedemikian tidak pernah berlaku dalam mana-mana khutbah di masjid sama ada ketika sambutan perayaan Aidilfitri mahupun Aidiladha.

Beliau turut menegaskan peruntukan berkaitan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah disentuh oleh imam-imam semasa menyampaikan khutbah.

“Nampaknya serangan terhadap Perlembagaan 153 sudah ditahap kemuncak bila ketua agama lain juga mempersoalkannya,” tegasnya.

“Lebih menyedihkan, ia dipersoalkan di dalam gereja oleh ketua agama, Perkasa berpendapat paderi tersebut tidak faham Fasal 153 Perlembagaan Negara itu atau sengaja mahu timbul ketegangan,” tegasnya lagi.

Kata Abdul Aziz, Artikel 153 diwujudkan untuk menjaga hak rakyat negara ini dengan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab melindungi peruntukan-peruntukan itu.

"Seperti yang kita lihat bahawa istilah Artikel 153 (1) adalah bertujuan  mencari perpaduan dan kesepakatan berdasarkan peruntukan Perlembagaan itu bahawa menjadi tanggungjawab Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan pribumi di Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.

"Saya merasakan apabila Perlembagaan mengatakan bahawa Agong mempunyai kuasa untuk melindungi peruntukan itu, namun sila perhatikan Majlis Raja-raja yang mana mempunyai hak rundingan mengenai dasar yang diperbuat oleh kerajaan tentang Artikel 153 (1) seperti yang ditetapkan oleh Artikel 38(5) bahawa Raja juga perlu memastikan tidak ada mana-mana pihak yang memiliki kuasa secara mutlak," katanya.

0 Comments:

Post a Comment