25 Oktober 2010





TPM: Harapkan PAS macam tunggu bulan jatuh ke riba.
sumber (malaysiakini)
Timbalan pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Abdul Aziz Yusof yang diletakkan sebagai calon parti itu bagi pilihan raya kecil DUN Galas akan dapat menandingi calon PAS Dr Zulkefli Mohamad walaupun hanya berkelulusan SPM.

Katanya, beliau tidak merasakan perkara itu akan menjadi isu dalam pilihan raya kecil kali ini kerana masyarakat perlu menilai Abdul Aziz secara keseluruhan.

Jelasnya, Abdul Aziz mewakili parti BN yang mempunyai keupayaan sumber yang besar berbanding PAS yang membentuk kerajaan di Kelantan.

“Atas nama beliau sendiri tak mungkin boleh (menang) tapi kerana dia mewakili parti. Maka parti lebih berupaya. Hari ini kita buktikan melalui flat yang dibangunkan itu,” katanya yang merujuk kepada satu Projek Perumahan Rakyat yang dilancarkannya hari ini.

Projek pembinaan sebanyak 1,500 unit rumah itu dibina dengan peruntukan sebanyak RM180 juta dan disasarkan kepada sebanyak 10,000 rakyat miskin di kawasan itu.

Sebanyak 18 blok rumah pangsa lima tingkat yang diumumkan di Taman Wangi, sebuah kawasan perumahan di dalam kawasan DUN Galas.

“Kalau hendak harapkan PAS, (seperti) menunggu bulan jatuh ke riba. Tapi bukan kita cakap sebab begitu dengan bongkak atau sombong tapi nak cakap dengan realitinya memang kita berupaya,” katanya lagi dalam sidang media selepas pengumuman calon berkenaan di Gua Musang hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru supaya pengundi di situ memilih Abdul Aziz sebagai wakil yang mampu menyuarakan tuntuan mereka.
“Kalau ada tuntutan yang beliau perlu sampaikan kepada kerajaan, ini akan diberi layanan dengan saksama,” katanya lagi.

Jelasnya, pendekatan itu merupakan salah satu pendekatan “inklusif” BN bagi memenangi hati masyarakat pelbagai kaum seperti di dalam DUN Galas.

0 Comments:

Post a Comment