12 Mac 2012

KOTA KINABALU, 12 Mac[TMI] — Rundingan kerusi di pihak pembangkang di Sabah berkemungkinan tidak akan tercapai dengan Pakatan Rakyat dan parti-parti tempatan negeri itu menuju ke arah perebutan antara satu sama lain yang mana pilihan raya umum mungkin akan diadakan pada Jun ini.
Dalam temubual berasingan dengan setiap pemimpin menunjukkan kedua-dua belah pihak tidak bersedia beralah dari permintaan mereka walaupun semua pihak menegaskan bahawa “pintu rundingan sentiasa terbuka”.
Untuk parti-parti pembangkang tempatan iaitu Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Reformasi Negeri (STAR), yang masing-masing diketuai pemimpin politik Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Jeffrey Kitingan, kerjasama yang mungkin wujud jika mereka dibenarkan bertanding di 60 kerusi negeri di Sabah.

Pemimpin-pemimpin parti ini memberitahu The Malaysian Insider baru-baru ini, untuk membolehkan mereka membawa agenda “Sabah untuk rakyat Sabah”, yang dilihat akan mempertahankan autonomi mereka.
Tetapi bagi Pakatan Rakyat yang berasal dari Semenanjung Malaysia, sebahagian besarnya DAP, semua pihak sepatutnya terlebih dahulu menyatakan kesanggupan untuk memberikan komitmen kepada pembangkang pusat sebelum berdepan Barisan Nasional (BN).
Mereka percaya ini akan memperkukuhkan pembangkang di Sabah dan di peringkat persekutuan serta membantu menjatuhkan pemerintah sedia ada di Putrajaya.
Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, pemimpin SAPP berkata mereka bersedia membantu Pakatan Rakyat dalam menawan Putrajaya tetapi mahu perjanjian yang membenarkan mereka membentuk kerajaan negeri Sabah dengan bertanding lebih separuh kerusi daripada 60 kerusi yang disediakan.
Pemimpin-pemimpin itu bersetuju bahawa semua parti pembangkang di Sabah perlu bekerjasama untuk memastikan pertandingan satu lawan satu di semua 60 kerusi negeri dan 25 kerusi Parlimen bagi mengelakkan berlaku pecah undi.
“Kerjasama, saya rasa, ia masih boleh. Sekarang, apa yang kami cuba jelaskan adalah — okay, anda (Pakatan Rakyat) pergi ke Putrajaya. Dan kami, kami telah bercakap tentang autonomi selama ini... kami tegas akan perkara ini,” kata Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong (gambar).
“Jadi jika mereka menghormatinya dan kami akan menghormati mereka, kita boleh bekerjasama.”
Bagi SAPP, formulanya mudah — Pakatan Rakyat bertanding dua pertiga daripada 25 kerusi Parlimen manakala SAPP dua pertiga kerusi negeri. Ini, menurut mereka merupakan formula menang-menang yang membolehkan semua pihak mencapai matlamat untuk menjatuhkan BN.
“Kami telah bertolak ansur selama ini,” kata Yong. “Kami tidak pernah kata kami akan bertanding di semua kerusi... tetapi untuk membentuk kerajaan, anda perlu menang lebih daripada 30 kerusi.”
Bendahari Agung SAPP Dullie Marie, bagaimanapun berkata walaupun dengan kesediaan partinya untuk mencapai kerjasama di dalam rundingan kerusi, ia tidak akan berkompromi untuk mendapatkan semula autonomi negeri itu.
Tegas beliau, SAPP adalah “tapak mula” untuk orang Sabah mendapatkan semula hak-hak mereka iaitu hasil minyak dan tanah adat.
Tetapi ahli politik ini bersetuju bahawa mungkin pandangan parti itu tidak akan diterima oleh Pakatan Rakyat, menekankan pengumuman pemimpin DAP Tan Kok Wai yang telah bercakap dengan hasrat parti itu bertanding 20 kerusi negeri.
Ramakan Dullie terbukti benar. Selain daripada beliau, pemimpin-pemimpin tempatan lain telah bersetuju bahawa ia tidak mungkin dipersetujui mereka.
Kata seorang pemimpin SAPP: “Paling utama, Pakatan tidak mahu bergabung. Mereka langsung tidak boleh bersetuju antara satu sama lain tentang kerusi mereka mahu bertanding, bagaimana mereka boleh berunding dengan kami?”
Semasa memberitahu The Malaysian Insider, Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong mengesahkan bahawa rundingan kerusi antara DAP, PKR dan PAS masih belum dimuktamadkan.
Katanya, rundingan masih belum selesai kerana terdapat 20 kerusi negeri dan tujuh kerusi Parlimen yang masih menjadi rebutan.
Rundingan dengan parti pembangkang tempatan, kata beliau, masih belum gagal walaupun dihangatkan melalui media.
“Pintu sentiasa terbuka,” katanya. “Tetapi syarat kami mudah... mereka perlu sertai Pakatan Rakyat. Mereka perlu bersatu jadi kita boleh menjadi satu pasukan... bukan dua. Mereka perlu pilih untuk bersama Pakatan Rakyat atau BN.”
Wong berkata ia adalah idealogi Pakatan Rakyat untuk memastikan tiada satu parti pun akan berkuasa atau dipinggirkan, yang mana pembahagian kuasa sama rata.
“Kami tidak mahu berubah menjadi Umno. Kenapa tetap berfikir bahawa kami berasal dari semenanjung? Kita semua rakyat Malaysia,” katanya.
Wong juga mengesahkan menerima jemputan STAR untuk berunding tentang pembahagian kerusi dan mengulangi DAP terbuka untuk semua parti dengan agenda bersama untuk menjatuhkan BN.
Sentimen pemimpin DAP itu turut dikongsi rakanya dari PKR.
“Anda mahu bersama Pakatan, anda tidak hanya boleh menjadi teman wanita saya, anda perlu mengahwini saya,” kata pemimpin tempatan PKR.
Tetapi tuntutan mereka mungkin ditolak. Pemerhati politik meramalkan barisan parti pembangkang Sabah tidak akan mencapai satu konsensus.
Dalam satu rencana dua minggu lalu, penulis kolum New Straits Times Johniston Bangkui menulis bahawa pembangkang, dalam usaha merampas kuasa daripada BN, “telah menjadi keliru”.
“Ia tidak mungkin parti pembangkang di Sabah akan mencapai consensus untuk pertandingan satu lawan satu dengan BN dengan alasan jelas setiap mereka fikir mereka lebih bagus dengan yang lain,” katanya.
Penulis itu mengakui keadaan sama berlaku antara parti komponen BN tetapi “tahap kematangan politik dan toleransi” akan kelihatan apabila tiba hari pengundian.
Kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak dijangkakan menjadi fokus utama BN pada pilihan raya umum akan datang termasuk wilayah persekutuan Labuan, membentuk 57 kerusi atau 25 peratus daripada 222 kerusi Parlimen.
Pada pilihan raya umum 2008, BN hilang majoriti dua pertiga disebabkan tewas besar di Semenanjung Malaysia, di mana ia hanya memenangi 85 kerusi sementara pembangkang menyapu 80 kerusi.
BN terselamat apabila mempertahankan kemenangan bersih di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan memenangi 55 kerusi Parlimen dan pembangkang hanya dua kerusi.
Hari ini, berikutan berlaku banyak kematian wakil rakyat dan berpaling tadah, BN mempunyai 138 kerusi Parlimen manakala pembangkang termasuk PKR, PAS, DAP, PSM, SAPP dan bebas mempunyai 84 kerusi dalam Dewan Rakyat.

0 Comments:

Post a Comment