07 Mac 2012

KUALA LUMPUR, 6 Mac [TMI]- Prof Datuk Dr Agus Yusof  menyifatkan pembentukan Jawatankuasa Pemandu oleh PAS memperlihatkan parti Islam itu mahu mewujudkan konsep “parti menguasai kerajaan.”

Bagaimanapun penganalisis politik ini menegaskan konsep “parti mengusai kerajaan” boleh diamalkan namun ia mesti dilaksanakan dengan tanggujawab yang melibatkan barisan kepimpinan pentadbiran.
Jelas Agus, Jawatankuasa Pemandu itu hanya sekadar penasihat kepada kerajaan negeri yang diketuai PAS dan tidak boleh sama sekali campur tangan dalam urusan pentadbiran.

“PAS cuba buat konsep parti menguasai kerajaan...nak tubuh jawatankuasa boleh tapi jangan masuk campur urusan negeri di mana konteks penentunya masih terletak kepada menteri besar dan barisan exconya.
“Jawatankuasa Pemandu ini boleh beri nasihat tapi tidak boleh campur tangan sebab kerajaan negeri bukan hanya PAS tapi Pakatan Rakyat,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini menambah menteri besar dan exco daripada PAS tidak terikat dengan Jawatankuasa Pemandu itu dan boleh untuk menolak keputusan dibuat.
“Jawatankuasa ini hanya berpengaruh ke atas menteri besar atau exco daripada PAS dan tidak boleh bertindak lebih daripada itu...jangan campur tangan.
“Kalau jawatankuasa ini buat keputusan tapi menteri besar tidak terikat dengan keputusan itu dan kalau (menteri besar) terikat (dengan jawatankuasa) maknanya jawatankuasa ini yang berkuasa,” kata Agus menambah menteri besar dan exco PAS boleh setuju atau tidak dengan nasihat diberikan jawatankuasa itu.
Kata beliau, apa-apa keputusan dalam pentadbiran negeri termasuk pelantikan di bawah kuasa menteri besar dengan perkenan Sultan Kedah.
Semalam PAS membuat keputusan menubuhkan Jawatankuasa Pemandu bagi mengelakkan insiden kontroversi seperti yang berlaku di Kedah berulang di negeri pimpinan parti itu.
Parti Islam pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan bermesyuarat pada 12 Mac ini untuk membuat perlantikan anggota Jawatankuasa Pemandu tersebut.
Sebelum ini PAS Kedah dilanda kemelut ekoran dua exco kerajaan negeri daripada parti itu enggan menerima lantikan semula ke jawatan itu.
Namun PAS pusat memutuskan untuk mengekalkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai menteri besar dan  dua exco, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh, perlu kembali semula sebagai exco negeri tersebut.
Menurut Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, jawatankuasa itu hanyalah bertindak sebagai penasihat dalam hal ehwal pentadbiran negeri di bawah pimpinan PAS.
“Jawatankuasa ini hanyalah bersifat penasihat dalam hal-hal yang perlukan pandangan pimpinan berkaitan dengan perancangan dan program yang dibuat.
“Tiada kaitan untuk mengambil alih tugas menteri besar melalui penubuhan jawatankuasa ini,” jelas Mustafa dalam satu kenyataan hari ini.

0 Comments:

Post a Comment