08 Januari 2011

Ulasan dangkal sahaja
APCO telah berjaya menanam benih-benih persengketaan yang berpanjangan dalam negara Malaysia yang berbilang bangsa ini. Jika di zaman penjajahan lampau mereka menggunakan dasar pecah dan perintah untuk terus menguasai Tanah Melayu, hari ini mereka menggunakan projek 1Malaysia pula untuk terus memporak-purandakan negara Malaysia yang indah ini. 
"Lahanat engko APCO"


PENA: Kami telefon Muhyiddin hari ini juga
[ Malaysiakini]Bagi menyatakan kesungguhan mereka menentang penarikan balik novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Persatuan Penulis Nasional (PENA) berkata akan memaklumkan pendirian mereka kepada menteri pelajaran serta-merta.

"Hari ini juga kami akan telefon pembantu Tan Sri Muhyiddin Yasssin. Soal angkat atau tidak angkat (telefon), itu hal lain.

"Yang penting, PENA ambil tindakan cepat," kata timbalannya Amirrudin Md Ali Hanafiah.

Dalam sidang media di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini, Amirrudin juga berkata, pihaknya mahu memaklumkan bahawa menteri tidak harus "ikut telunjuk" mana-mana pendesak yang mahukan buku itu ditarik balik sebagai teks sastera tingkatan lima.

Katanya, pendirian itu juga diambil setelah bertemu sendiri dengan Abdullah sendiri bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara itu.

Hadir sama dalam sidang media itu Pengarah Penerbit Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Md Salleh Yaapar.

Sementara itu, presidennya Mohd Saleeh Rahamad pula berkata, mereka mahu mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin yang juga timbalan perdana menteri bagi menyampaikan tentangan mereka tanpa kompromi terhadap cadangan penarikan dan penyuntingan Interlok.

Bimbang komposisi panel
Mengulas tindakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula penggunaan novel itu di sekolah menengah, Mohd Saleeh berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan perkara itu.

"Kita bimbang bila kaji semula, jawatankuasanya dibarisi (wakil berkepentingan) secara tidak seimbang.

"Kita bimbang ada keputusan lain," katanya yang juga pensyarah pengajian media di Universiti Malaya.

Ditanya sama ada pihaknya akan mempelbagaikan bantahan supaya dan bukan sahaja berorientasikan diplomasi, Mohd Saleeh menjawab perkara itu mestilah dibincangkan dengan persatuan lain terlebih dahulu.

"PENA di (bernaung) bawah Gapena (Gabungan Persatuan Penulis Nasional). Kita kena bincang dengan NGO lain juga. Kalau tak ramai, kalau kami tiga orang sahaja hendak berdemo, tidak jadi juga," katanya.

Sementara itu, Md Salleh pula berkata berkata, tindakan kerajaan mengkaji semula buku itu mungkin disebabkan terdapat kecenderungan untuk mendengar pendapat "sebelah lagi".

Sambil mendakwa, tentangan pada Interlok disebabkan tidak faham, Md Salleh berkata:

"Apa yang disebut (pengarang) semua betul. Apa yang disebut semuanya fakta."

0 Comments:

Post a Comment