23 Oktober 2012

KUALA LUMPUR, — Fakta sejarah membuktikan Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn pernah berkata Malaysia adalah negara sekular sekaligus menepis kenyataan Menteri ‘de facto’ Undang-Undang, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini di Parlimen yang mengatakan negara tidak mempunyai asal-usul sekular.
Nazri memberitahu di Parlimen bahawa Malaysia tidak pernah diisytihar sebagai negara sekular dengan alasan negara dibentuk daripada Kesultanan Melayu dan kerajaan Islam.
Ekoran kenyataan tersebut, tercetus perdebatan tentang status Perlembagaan walaupun Mahkamah Agung mengakui Malaysia sebuah negara sekular sama seperti yang turut diakui perdana menteri pertama, Tunku.
Tunku Abdul Rahman dalam beberapa ucapannya menegaskan Malaysia adalah sebuah negara sekular dan bukan Islam......tajuk/[TMI]

Kali pertama Tunku direkodkan memberitahu Parlimen ialah pada 1 mei 1958: “Saya ingin memberitahu secara jelas bahawa negara ini bukan negara Islam kerana ia secara  umumnya difahami bahawa Islam hanya diperuntukkan menjadi agama rasmi negara.”
Akhbar The Star turut melaporkan Tunku mengulangi pendirian sama semasa perhimpunan ulangtahun ke-80 dengan tajuk berita, “Jangan isytihar Malaysia sebagai sebuah  negara Islam - Tunku” dimana dia berkata “negara ini memiliki penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan. Malaysia mesti terus kekal sebuah negara sekular  dengan Islam sebagai agama rasmi.”
Dalam akhbar yang sama, PM ketiga Malaysia, Tun Hussein Onn juga dilaporkan menyokong pemimpin terdahulu negara dengan menolak Malaysia bertukar menjadi sebuah negara  Islam.
“Negara ini masih boleh berfungsi sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi,” kata Hussein.
Penulis Hussin Mutalib dari Universiti Kebangsaan Singapura juga menemubual Tunku untuk bukunya berjuduk "Islam di Malaysia: Daripada kebangkitan kepada Negara Islam".
Dalam temubual, Tunku berkata: “...Tidak akan ada negara Islam di sini ... Sifat parti politik kita, kerajaan campuran kami, demokrasi kita, dan kehidupan kita yang  berbilang kaum adalah asas-asas yang mencukupi dan boleh digunakan untuk membina sebuah negara Malaysia yang makmur dan aman. Mengapa kita perlu mencontohi Iran dan  negara Islam lain?”
Sebuah negara Islam ditakrifkan sebagai negara yang asas utama kerajaannya adalah undang-undang Islam, undang-undang Syariah. Perkara 3 Perlembagaan menyatakan bahawa  Islam adalah agama Persekutuan dan ia digunakan untuk menyokong dakwaan bahawa Malaysia adalah negara Islam dan bukannya sekular.
Walaubagaimanapun, dalam merangka Perlembagaan Malaysia, Suruhanjaya Reid telah menyentuh tentang Islam sebagai agama rasmi di dalam laporan pada Februari 1957:  “pemeliharaan prinsip ini tidak akan mengenakan sebarang ketidakupayaan pada warga bukan Islam yang menganut dan mengamalkan agama mereka serta tidak bermaksud bahawa  negara bukannya tidak sekular. “
Dalam laporan yang sama, Peguam Raja-Raja (Majlis Raja-Raja) menentang kemasukan peruntukan sedemikian: “Ia adalah pandangan Baginda bahawa ia tidak wajar untuk  memasukkan beberapa pengisytiharan sepertimana yang telah dicadangkan bahawa kepercayaan umat Islam atau keimanan Islam menjadi agama rasmi dalam Persekutuan.”
Hakim, Abdul Hamid yang merupakan salah seorang ahli dalam Suruhanjaya Reid dari Pakistan antara yang mencadangkan kemasukkan peruntukan tersebut.
“Peruntukan seperti yang dicadangkan di atas adalah berbahaya. Tidak kurang daripada lima belas negara di dunia mempunyai peruntukan seperti ini yang termaktub dalam Perlembagaan mereka,” kata Hamid dalam laporan itu.
“Perisytiharan (Ini) didapati tidak menyusahkan sesiapa, tiada bahaya akan berlaku jika pengisytiharan sedemikian dimasukkan dalam Perlembagaan Malaya.”
Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan) pada 1988 dalam kes Che Omar bin Che Soh v P.P. turut menggunakan alasan sama bagi menyokong Malaysia sebuah negara sekular.
Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dalam penghakimannya merumuskan: “... Kita perlu mengetepikan pandangan peribadi kita kerana undang-undang negara ini masih sama pada hari ini, undang-undang sekular, di mana moral tidak diterima oleh undang-undang untuk memperoleh status perundangan.”
Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara sekular tidak pernah dipertikai hinggalah PM keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan Malaysia sebuah negara Islam pada 29 September 2001 semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Perwakilan Gerakan.
“Umno ingin menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam,” umumnya mantan PM tersebut selepas PAS mencabar Umno untuk mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi juga mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam pada 17 Julai 2007.
Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak turut memberitahu wartawan selepas Persidangan Antarabangsa tentang Peranan Negara Islam Dalam Dunia Globalisasi: “Islam adalah agama rasmi dan Malaysia adalah sebuah negara Islam.
Tetapi sebagai sebuah negara Islam, ia tidak bermakna kita tidak menghormati orang bukan Islam. Umat Islam dan orang bukan Islam mempunyai hak-hak mereka sendiri (di negara ini).”
Kenyataan ini juga dibangkitkan oleh Abdullah dalam jawapan bertulis beliau di parlimen.
“Malaysia adalah sebuah negara Islam yang ditadbir berdasarkan prinsip-prinsip Islam dan mematuhi prinsip-prinsip demokrasi berparlimen yang berpandukan undang-undang tertinggi dalam negara — Perlembagaan Persekutuan,” kata PM yang kelima tersebut.

0 Comments:

Post a Comment