25 Januari 2012


Calon Pilihan Raya Gabenor Aceh Jalani Ujian Baca Al-Quran
JAKARTA, 25 Jan (di sini) -- Bagi melayakkan diri bertanding dalam pilihan raya Gabenor Aceh, tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh pada Selasa.
Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (KIP) di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka lulus.
Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.

Hakim dalam ujian bacaan al-Quran daripada Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran (LPTQ) menilai para peserta daripada segi cara membaca, adab membaca dan kefasihan bacaan.
Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.
Kemahiran membaca al-Quran merupakan syarat wajib bagi calon-calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon-calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Ketiga-tiga pasangan calon yang menjalani ujian bacaan al-Quran semalam merupakan calon-calon yang baru mendaftarkan diri setelah KIP membuka semula pendaftaran sebagaimana perintah Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 17 Jan lalu.

Sebelum ini KIP telah menerima pendaftaran empat pasangan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu, yang telah dijadualkan semula untuk diadakan pada 9 April.

Pasangan calon lain telahpun lulus dalam ujian yang sama, selepas pendaftaran mereka.

0 Comments:

Post a Comment