13 Januari 2012

Sultan Perkenan gugur Hasan Ali

Sultan Selangor hari ini perkenan untuk membatalkan pelantikan Datuk Dr Hasan Ali - yang telah dipecat sebagai ahli PAS Ahad lalu - daripada jawatan exco kerajaan negeri Selangor.
Keputusan itu dibuat selepas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengadap baginda di Istana Kayangan di Shah Alam pagi ini.
"Memandangkan Datuk Hasan bukan lagi ahli PAS, saya telah membuat keputusan bahawa beliau tidak boleh lagi menjadi ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan telah menasihati DYMM Tuanku Sultan untuk membatalkan pelantikan beliau.
"DYMM Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan baginda akan menulis surat pembatalan pelantikan YB Datuk Dr Hasan sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri," kata menteri besar dalam satu sidang media selepas mengadap Sultan Selangor pagi tadi.

Pada masa yang sama, katanya, sultan telah menurunkan kuasanya kepada beliau untuk melantik ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri yang baru.
"Baginda Sultan juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak-pihak," tambahnya.
Sehubungan itu, kata Khalid, pelantikan exco baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada hari Rabu minggu depan.
Ditanya mengenai pengganti Dr Hasan, Khalid berkata, secara rasmi beliau belum menerima senarai calon tersebut.

"Dalam (tempoh) dua hari ini, saya akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PAS pusat untuk berbincang perkara ini," katanya.

Menurut Khalid lagi, beliau tidak menerima surat peletakan jawatan Dr Hasan sebaliknya mengesahkan menerima surat permohonan cuti dan tidak menghadiri mesyuarat exco.

Khalid juga berkata ekoran pemecatan Dr Hasan sebagai exco, hak keistimewaan beliau yang juga ADUN Gombak Setia, turut digugurkan.

Bagaimanapun, Khalid menegaskan ada tempoh untuk Dr Hasan menyerahkan hak keistimewaan itu kepada kerajaan negeri.

Ditanya tindakan menggugurkan Dr Hasan dilihat mendahului keputusan Majlis Syura kerana beliau masih lagi boleh merayu, Khalid berkata, tidak ada peruntukan bagi ADUN bebas untuk menjadi exco.

Ditanya perasaan beliau dan exco di atas 'kehilangan' Dr Hasan, Khalid berkata: "Soalan tersebut sepatutnya ditanya kepada PAS".[MK]

0 Comments:

Post a Comment