26 Januari 2012


KUALA LUMPUR, 26 Jan [TMI]- Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) hari ini mendakwa, Felda Holdings Berhad (Felda) akan mengalami defisit sejumlah RM1.5 billion setahun sekiranya rancangan penyenaraian  Felda Global Venture Berhad (FGVH) diteruskan.
Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata,  Felda pada tahun lepas, secara puratanya memperolehi pendapatan sekitar RM 2.4 bilion setahun dengan kos perbelanjaan sejumlah RM2 bilion berdasarkan  yang mana Felda akan memperoleh lebihan pendapatan dan keuntungan sebanyak RM400 juta.
Namun demikian, selepas penyerahan untuk pajakan kepada FGVH, Felda hanya akan menerima purata
pendapatan sekitar RM251 juta hasil pajakan tanah seluas 880,000 hektar dan 15 peratus hasil Minyak Sawit Mentah (MSM) iaitu sejumlah RM257 dengan kadar RM2,900 se tan.
"Jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM508 juta setahun tersebut akan menjadikan Felda mengalami defisit ekoran kos pengeluaran lebih tinggi daripada nilai pendapatan.
"Dari mana Felda nak cari dana bagi menampung defisit tersebut, kalau bukan daripada kerajaan?, Felda sudah kembali kepada zaman dahulu, zaman di mana Felda hanya menunggu bantuan daripada kerajaan," tegas Mazlan di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.
Tambahnya, Koperasi Permodalan Felda (KPF) juga akan diberikan kepentingan sebanyak 35 peratus dalam FGVH yang menyaksikan anak syarikat terbabit melaporkan kerugian sebanyak RM500 juta pada 2010.
Menurut Mazlan lagi, tiada jaminan daripada kerajaan terhadap defisit yang akan ditanggung Felda, malahan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Mamslan hanya membuat perjanjian lisan bahawa Felda akan mempunyai pendapatan yang mencukupi.
Jelasnya lagi, di bawah perjanjian tersebut, FGVH akan menguasai proses pembuatan dasar terhadap Felda, namun "sekiranya perniagaan tersebut gagal, tiada denda dan penalti akan dikenakan, sebaliknya, FGVH hanya akan "mencuci tangan" sekiranya perkara sedemikian berlaku."
"FGVH hanya akan mencuci tangan sekiranya perkara itu berlaku, tanpa dikenakan apa-apa tindakan," kata Mazlan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Belanjawan 2012 mengumumkan penyenaraian FGVH akan dilaksanakan menjelang April 2012.
Namun, Mazlan menegaskan, kesemua Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR),  Kedah, Selangor dan Kelantan, sudah bersetuju untuk tidak menandatangani perjanjian penyerahan tanah tersebut-kerana tanah merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.
Kerajaan juga dipercayai akan memindahkan RM5.9 billion nilai aset Felda secara  sekaligus, namun Anak percaya, ianya bukan dalam bentuk tunai, sebaliknya saham dalam FGVH.
Dalam sidang media hari ini, Anak turut mengedarkan surat perjanjian antara Felda dan FGVH yang ternyata menurut Mazlan "memberikan keselasaan kepada FGVH".
"Kami sedia menerima sebarang kemungkinan dan tindakan kerana mengedarkan surat perjanjian ini, orang ramai perlu mengetahui perkara ini," tegasnya lagi.

0 Comments:

Post a Comment