17 Mei 2011


KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengekalkan jawatan presiden PAS untuk penggal kelima kerana tidak ada calon yang layak untuk jawatan itu selepas semua bahagian mengadakan mesyuratnya.

Semua bahagian diberikan sehingga semalam untuk mengadakan mesyuaratnya yang juga merupakan hari terakhir untuk mengemukakan sebarang pencalonan.

Sumber-sumber parti berkata Bukit Bintang merupakan satu-satunya bahagian yang mencalonkan exco negeri Kelantan Datuk Husam Musa untuk jawatan tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, Husam secara terbuka berkata beliau belum berminat untuk bertanding jawatan parti tertinggi itu.

Malahan, bakal calon mestilah menerima sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk melayakkan bertanding bagi sebarang jawatan.

"Setakat ini, nampaknya Datuk Seri Hadi akan mengekalkan jawatannya," kata seorang sumber parti yang enggan namanya disiarkan kerana jawatankuasa pemilihan parti akan membuat pengumuman rasmi esok.



Setiausaha agung parti Datuk Mustafa Ali dan pengerusi pemilihan PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dijadual mengadakan persidangan akhbar esok untuk mengumumkan senarai calon yang layak untuk jawatan tertinggi parti itu.

Abdul Hadi mula dilantik sebagai pemangku presiden pada Julai 2002 dan dipilih sebagai presiden PAS pada pemilihan parti 2003 dan telah memegang jawatan itu tanpa dicabar sehingga sekarang.

Bagi jawatan timbalan presiden, setakat ini hanya dua pemimpin PAS, penyandang Nasharuddin Mat Isa dan anggota jawatankuasa pusat Mohamad Sabu, mengesahkan akan bertanding untuk jawatan nombor dua itu jika mereka menerima pencalonan yang mencukupi.

Lain-lain yang telah dicalonkan ialah untuk jawatan naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahudin Ayub, anggota jawatankuasa pusat dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan pemimpin PAS Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

-- BERNAMA

0 Comments:

Post a Comment