16 Mei 2011

TEHRAN: Bekas pengasas rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden dijadikan tahanan Amerika Syarikat (AS) untuk 'tempoh beberapa masa' sebelum dibunuh komando negara itu, kata Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad hari ini.

“Saya mempunyai bukti yang sahih bahawa Osama ditahan oleh tentera Amerika untuk beberapa masa...sehinggalah dia dibunuh," katanya dalam temubual yang disiarkan secara langsung oleh siaran televisyen Iran.
“Tolong beri perhatian. Ini adalah penting. Dia (Osama) ditahan untuk beberapa tempoh masa. Mereka membuatkannya menderita dan ketika dia sakit mereka membunuhnya," kata Ahmadinejad.
Ahmadinejad menuduh Presiden Amerika, Barack Obama yang mengumumkan kematian Osama sebagai satu kepentingan politik peribadi.

“Apa yang dilakukan Presiden Amerika itu adalah untuk memenuhi kepentingan politik domestiknya.

"Dalam lain perkataan, mereka membunuhnya untuk persediaan pilihan raya Obama," katanya.

Osama dilaporkan mati ditembak pada 2 Mei lalu oleh komando Amerika dalam serangan berdekatan Islamabad, Pakistan.
Pada 4 Mei, Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi berkata, banyak persoalan mengenai cara pembunuhan Obama yang menimbulkan keraguan.

"Amerika berkata, mereka membuang mayat Osama ke laut. Mengapa mereka tidak membenarkan pakar bebas untuk memeriksa mayat itu bagi menentukan ia Osama atau tidak," kata Vahidi. - AFP

0 Comments:

Post a Comment